Friday, June 11, 2010

Pengurus kelab malam, teman wanita mati ditembak

Oleh Mohd Iskandar Ibrahim
mohdiskandar@bharian.com.my
2010/06/12
sebelum - selepas

ANGGOTA forensik PDRM mencari bahan bukti pada kereta CRV pengurus kelab malam.CCTV rakam 2 lelaki tunggu mangsa

KUALA LUMPUR: Seorang pengurus kelab malam bersama teman wanitanya mati ditembak dari jarak dekat di tempat letak kereta kondominium di Taman Maluri di sini, awal pagi semalam. Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, kedua-dua mangsa dikatakan baru pulang dari bekerja sebelum didatangi dua lelaki ke arah kenderaan jenis Honda CRV milik mereka. Difahamkan, sebaik menghampiri kenderaan terbabit kedua-dua lelaki berkenaan melepaskan beberapa das tembakan ke arah mangsa melalui tempat duduk bahagian pemandu sebelum melarikan diri.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa, berkata mayat pengurus kelab berusia 52 tahun dan teman wanitanya berusia 32 tahun ditemui pengawal keselamatan kondominium berkenaan sebelum menghubungi pihak berkuasa.

“Kedua-dua mangsa mati di tempat kejadian akibat parah di kepala dipercayai ditembak menggunakan pistol jenis automatik. Bagaimanapun, polis tidak menemui sebarang senjata di tempat kejadian.

“Pemeriksaan yang dilakukan, polis menemui 13 kelongsong peluru berhampiran mayat mangsa,” katanya ketika dihubungi Berita Harian di sini.
Katanya, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan itu, ada dua lelaki dilihat sedang menunggu dalam tempoh lama sebelum bertindak menembak mangsa.

“Difahamkan, seorang pengawal keselamatan juga ternampak dua suspek melarikan diri dengan memanjat pagar belakang kondominium selepas mendengar beberapa das tembakan,” katanya.

Beliau berkata, punca kejadian masih disiasat tetapi tidak menolak ia bermotifkan dendam.

“Polis memberi jaminan akan menjalankan siasatan secara menyeluruh walaupun siasatan awal mendapati dompet dan dua utas rantai emas milik kedua-dua mangsa itu dilarikan suspek.

“Bagaimanapun, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Justeru, beliau memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi mana-mana balai polis berhampiran

No comments:

Post a Comment