Thursday, June 24, 2010

Rokok, minuman keras RM361,247 kena rampas

2010/06/24
SEREMBAN: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Sembilan merampas rokok kretek, rokok putih, wiski dan bir pelbagai jenama bernilai RM361,247 dalam satu serbuan di sebuah rumah kosong di Shah Alam, Selangor, di sini, Selasa lalu.

Serbuan kira-kira jam 1.30 petang itu dilakukan oleh pegawai Bahagian Penguatkuasaan dan Pematuhan JKDM negeri dalam operasi dikenali Ops Outlet selepas intipan selama beberapa hari. Pengarah JKDM, negeri, Mohd Kassim Ismail, berkata pihaknya menemui sebanyak 2,027 karton rokok putih, rokok kretek (140), 7,560 tin bir dan 365 botol wiski yang disyaki belum diluluskan kastam. "Barang seludup berkenaan dianggarkan bernilai RM79,469 manakala nilai duti atau cukai dianggarkan sebanyak RM281,778.

"Siasatan lanjut mendapati semua rokok yang ditemui tidak mempunyai tanda setem cukai pada kotak dan bagi wiski dan bir, tiada label bertanda 'Brewed For Export'," katanya pada sidang media di JKDM, di sini, semalam.

Mohd Kassim berkata, tiada tangkapan dilakukan di rumah berkenaan kerana pihak terbabit mungkin menyedari pihak berkuasa sedang menjalankan intipan.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967, iaitu menyimpan barang yang belum lulus kastam.
"Syarikat atau individu yang terbabit dalam kes itu boleh didakwa di mahkamah, sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang 10 kali nilai barang atau tidak lebih 20 kali nilai barang atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya," katanya.

Mohd Kassim berkata, Ops Outlet sejak Mac lalu membabitkan pemeriksaan terhadap 170 premis, termasuk rumah bagi mengenal pasti bahan seperti rokok dan minuman keras yang melanggar akta JKDM.

"Daripada jumlah itu, kita mengesan sebanyak 60 kesalahan membabitkan minuman keras dan rokok," katanya yang meminta sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan penyeludupan menghubungi mana-mana pejabat JKDM berdekatan

No comments:

Post a Comment