Oleh ASSIM HASSAN
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 27 Jun - Seorang lelaki yang melarikan diri atas bumbung sebuah rumah kedai selepas menikam dirinya, maut setelah dia bertindak nekad terjun dari bangunan setinggi 15 meter itu di Jalan Bandar, Taman Melawati di sini hari ini.
Lelaki berusia 30 tahun tersebut sebelum itu mengamuk dan membunuh seorang pekerja sebuah kedai tayar, Fong Chee Kong, 32, di tingkat tiga rumah kedai berkenaan.
Sebelum terjun, lelaki berasal dari Sabah itu, Johnny Dusok sempat melambai ke arah sekumpulan anggota polis yang cuba memujuknya untuk menyerahkan diri kira-kira pukul 12 tengah hari.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan berkata, lelaki itu meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kira-kira pukul 6.25 petang ini akibat kecederaan parah akibat terjun dari bangunan rumah kedai itu.
Menurutnya, suspek yang bekerja di Perak dikatakan datang untuk bertemu abangnya yang tinggal di tingkat dua premis berkenaan sejak semalam.
Namun, katanya, suspek bertindak mengamuk dan menikam perutnya dengan sebilah pisau, kira-kira pukul 8 pagi ini.
Beliau berkata, abang suspek yang gagal mengawal adiknya terpaksa membuat laporan di Balai Polis Taman Melawati selepas dia dilihat menikam dirinya dan mengamuk sambil membawa sebatang besi.
Katanya, sepasukan polis yang tiba di tempat kejadian mendapati suspek tiada di tingkat dua premis sebelum naik ke tingkat tiga dan terlihat mayat seorang lelaki dalam keadaan berlumuran darah.
"Mangsa yang bekerja di sebuah bengkel tayar di kawasan ini mati di tempat kejadian dipercayai akibat hentakan teruk di kepala.
"Siasatan awal mendapati, mangsa dipukul menggunakan objek keras dan tumpul dipercayai batang besi digunakan suspek," katanya di tempat kejadian hari ini.
Tambah Abdul Jalil, selepas diperiksa, suspek dikatakan telah naik ke atas bumbung premis itu sebelum bertindak nekad untuk terjun.
Katanya, pihaknya tidak menolak kemungkinan suspek panik selepas mendapati mangsa tidak sedarkan diri dan naik ke atas bumbung melalui lubang siling yang terdapat pada premis terbabit.
"Kita memujuk suspek selama 10 minit supaya dia menyerah diri dari jarak 10 meter. Namun, suspek berundur sambil berjalan ke belakang sedikit demi sedikit sebelum terjun.
"Mayat mangsa dibawa ke HKL manakala suspek yang berada dalam keadaan kritikal turut menerima rawatan di hospital yang sama sebelum meninggal dunia petang ini," katanya.
Jelas beliau, pihaknya tidak menolak kemungkinan terdapat beberapa rakan mangsa berada di dalam bilik itu tetapi pergi menyelamatkan diri apabila melihat suspek mengamuk.
Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 dan 309 Kanun Keseksaan
Sunday, June 27, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment