Friday, June 11, 2010

Dua beranak diacu pedang penyamun

Oleh Irwan Shafrizan Ismail
irwansha@bharian.com.my
2010/06/12
KUANTAN: Dua beranak berdepan detik cemas apabila diikat kaki, tangan dan mulut serta diugut dengan pedang sepanjang satu meter oleh enam lelaki yang memecah masuk rumah mereka, di Felcra Seri Makmur, Paloh Hinai, dekat Pekan, awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian jam 5.30 pagi, mangsa berusia 35 tahun dan ibunya, 65 tahun turut dikurung dalam bilik di rumah mereka selepas diikat enam lelaki dipercayai warga asing. Pegawai Turus Urus Setia Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Superintendan Noor Asyikin Shamsuri, berkata enam perompak yang memakai penutup muka merampas barang kemas dipakai warga emas itu bersama telefon bimbit membabitkan kerugian keseluruhan kira-kira RM12,000. Beliau berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika dua beranak itu tidur dalam dua bilik berasingan.

Katanya, anak lelaki mangsa menyedari suis lampu bilik dibuka, namun tidak mengendahkannya kerana menyangka ibunya yang masuk, tetapi sangkaan itu meleset sebaik saja ternampak kelibat seorang lelaki bertopeng bersenjatakan pedang meluru ke arahnya.

“Mangsa tidak sempat bertindak sebaliknya terpaksa mengikut arahan perompak itu kerana bimbang dicederakan sebelum tangannya diikat dan diheret masuk ke dalam bilik tidur ibunya.

“Ketika itu ibunya turut diikat, " katanya di sini, semalam. Noor Asyikin berkata, bimbang lelaki itu melawan, seorang daripada suspek terbabit turut mengikat kaki mangsa.

“Ketika itu masuk lima lagi rakan perompak memakai penutup muka sebelum mereka menggeledah rumah dan mencari barang berharga, manakala seorang daripada mereka merampas barang kemas dipakai wanita terbabit," katanya.

Katanya, selepas mendapat habuan mereka, perompak terbabit melarikan diri melalui pintu belakang rumah berkenaan.

No comments:

Post a Comment