Friday, June 11, 2010

Kerugian RM1 juta rumah diceroboh

KOTA KINABALU 11 Jun 2010 - Seorang ahli perniagaan kerugian hampir RM1 juta selepas rumahnya di Taman Golden Hill, Kepayan di sini dipecah masuk petang semalam.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 5.45 petang ketika mangsa dan keluarganya tiada di rumah dan berada di Beaufort menguruskan persiapan kenduri kahwin adiknya.

Mangsa yang hanya dikenali sebagai Abudzar berkata, antara yang dilarikan ialah kereta mewah BMW Z4, barang kemas dan peralatan rumah.

"Saya hanya dimaklumkan rumah saya dirompak pada pukul 6 petang oleh jiran.

"Ketika kejadian, saya sekeluarga menguruskan persiapan kenduri kahwin adik yang akan berlangsung di Beaufort tidak lama lagi," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Abuzar menambah, sejurus menerima panggilan itu, dia bergegas pulang ke rumah dan mendapati kenderaan mewahnya itu hilang.

Selain itu, dia berkata, bahagian dalam rumahnya dalam keadaan berselerak manakala pintu pagar dan rumah dibiarkan terbuka.

Pemangku Ketua Polis daerah, Supritendan Rowell Marung berkata, siasatan awal polis mendapati, kejadian itu dilakukan oleh lebih daripada seorang suspek.

"Anak mangsa membuat laporan polis tengah malam tadi dan polis masih menjalankan siasatan berhubung kes itu," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Rowell turut menasihatkan orang ramai yang ingin meninggalkan rumah untuk tempoh yang lama ketika cuti sekolah ini supaya memaklumkan kepada balai polis berhampiran bagi membolehkan pihaknya membuat rondaan di kawasan rumah mereka

No comments:

Post a Comment