2010/06/23
KUALA LUMPUR: Pemilik kedai kopi di bandar besar di seluruh negara dikesan menggunakan warung mereka sebagai pusat operasi yang menawarkan pertaruhan haram bola sepak Piala Dunia 2010 secara konvensional menggunakan khidmat warga asing sebagai orang tengah.
Warga asing yang bekerja sebagai pembancuh kopi dan pelayan bukan saja menghulurkan kertas pertaruhan kepada pelanggan, malah memujuk mereka untuk bertaruh. Difahamkan, pemilik kedai kopi hanya menunggu di kaunter pembayaran, manakala kertas pertaruhan disimpan untuk bukti pembelian. Modus operandi ini dilakukan secara sulit bagi mengelakkan ditahan pihak berkuasa. Sumber berkata, pemilik kedai kopi menawarkan wang pertaruhan minimum RM50 untuk satu perlawanan dan jika menang mereka akan mendapat pulangan dua kali ganda.
“Jika bertaruh RM50 untuk satu perlawanan dan pasukan yang diramal menang, dia akan mendapat RM99, manakala RM1 diberikan kepada bookie iaitu pemilik kedai kopi terbabit. Tetapi, kebanyakan kaki judi bertaruh minimum RM1,000 untuk satu perlawanan. Ada juga yang hanya menghabiskan masa di kedai kopi dari jam 9 pagi hingga 2 pagi dengan menonton perlawanan kerana kedai kopi itu turut menyediakan televisyen untuk menarik pelanggan,” katanya kepada Berita Harian semalam.
Beliau berkata, kertas pertaruhan dengan pasukan pilihan serta keputusan perlawanan yang diramalkan oleh kaki judi siap dicetak membuktikan pemilik kedai kopi terbabit memainkan peranan secara langsung mengendalikan perjudian itu.
Katanya, Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) di seluruh negara turut mengesan modus operandi sama oleh pemilik kedai kopi di Pulau Pinang dan Melaka.
“Siasatan awal mendapati komputer dan modem yang dirampas daripada kedai itu menemui beberapa bukti yang mengandungi perisian yang menjurus ke arah perjudian haram,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Abdul Rahman Othman, berkata pihaknya sedia bekerjasama dengan polis bagi mengenal pasti tujuh orang kenamaan dipercayai Datuk yang sudah melarikan diri ke luar negara kerana bimbang ditahan polis.
“Kami akan sentiasa bekerjasama dan bertindak atas maklumat yang diberikan dengan sebaik mungkin.
“Mengenai kes ini, saya tidak menerima sebarang arahan rasmi menjalankan siasatan,” katanya.
Tuesday, June 22, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment