Monday, June 28, 2010

PDRM siasat modus operandi seludup kereta ke Dubai

Oleh Wan Faizal Ismayatim dan Mohd Iskandar Ibrahim

2010/06/29
Sindiket antarabangsa disyaki dalang utama

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menjalankan siasatan rapi berhubung 24 kenderaan dari Malaysia berjaya diseludup ke Dubai dipercayai didalangi sindiket antarabangsa.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, ketika dihubungi Berita Harian berkata pihaknya akan mendapatkan maklumat daripada agensi berkaitan dan pihak berkuasa Dubai bagi mengetahui lebih lanjut modus operandi yang digunakan sindiket terbabit. Beliau berkata, pihaknya juga akan menyiasat untuk mengenal pasti di mana lokasi kereta itu diseludup keluar dari negara ini sebelum dihantar ke luar negara selain mengesan dalang yang disyaki terbabit. Buat masa ini, kita (polis) masih belum mendapat sebarang maklumat berhubung perkara itu. Bagaimanapun, kita (polis) akan menjalankan siasatan terperinci, katanya di sini, semalam.

Sementara itu, BERNAMA melaporkan kenderaan itu yang disita kastam Dubai ketika cuba diseludup ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) beberapa tahun lalu sudah diserah kepada polis Malaysia.

Konsul Besar Malaysia di Dubai Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin berkata kebanyakan kenderaan berkenaan adalah daripada jenis trak pikap dan kenderaan pelbagai guna SUV.

Semua kenderaan itu dalam perjalanan ke Malaysia dan dijangka tiba tidak lama lagi, katanya.
Media di UAE melaporkan kastam Dubai berjaya mengesan kenderaan terbabit sebelum ia memasuki pasaran auto rantau itu hasil kecekapan pegawai dan penggunaan alat pengimbas berteknologi tinggi.

Laporan media itu juga menyebut siasatan mendapati usaha menyeludup itu didalangi sindiket antarabangsa.

Syed Mohamad Hasrin berkata, kes pertama diketahui Kedutaan Malaysia di Abu Dhabi pada 2007 manakala Pejabat Konsul Besar di Dubai pula diwujudkan pada 2008.

Hanya baru-baru ini pegawai dari kastam Dubai datang menemui saya untuk bertanya sama ada kita mahu melupuskan kenderaan terbabit atau dihantar balik ke Malaysia, katanya.

Beliau berkata, dua pegawai PDRM datang ke Dubai selepas dimaklumkan mengenai perkembangan dan memeriksa kenderaan terbabit.

Selepas diperiksa mereka bersetuju agar semuanya dihantar balik untuk tindakan lanjut, katanya.

Beliau turut berterima kasih kepada kastam Dubai dan kedutaan di atas kerjasama mereka

No comments:

Post a Comment