Wednesday, June 16, 2010

Mangsa bunuh hantar SMS selepas kena tikam

2010/06/17
KERTEH: Seorang mangsa bunuh sempat mengirimkan khidmat pesanan ringkas (SMS) berbunyi 'aku kena bunuh' kepada abangnya sejurus selepas ditikam, sebelum mayatnya ditemui di sebuah pondok di kebun buah-buahan di Kampung Pasir Gajah, di sini, Isnin lalu.

Abdul Halim Idrus, 19, yang dikatakan berjanji untuk bertemu dengan teman wanitanya di kebun berkenaan pada hari kejadian ditemui mati dengan kesan tusukan senjata tajam, dipercayai bermotifkan dendam atau cemburu cinta tiga segi. Abang mangsa, Mohd Haris, 27, berkata sebelum SMS yang disangka satu gurauan itu diterima, mangsa turut meminta tambah nilai kredit telefon bimbit RM1 daripadanya, sebelum beberapa SMS yang dihantarnya kepada mangsa tidak berbalas sehingga menimbulkan keresahan keluarganya. “Saya terkejut dan tergamam sebaik menerima SMS itu. Ia dihantar sejurus saya menghantar tambah nilai ke telefon bimbitnya. Selepas menerima SMS pelik itu, saya menghantar SMS berkali-kali bertanyakan keadaannya, namun gagal mendapat sebarang jawapan.

“Disebabkan bimbang, saya bersama bapa, Idris Long dan beberapa rakan mencari adik, tetapi tidak bertemu. Selepas seharian usaha mencarinya gagal, kami membuat laporan di Balai Polis Kampung Pasir Gajah dan kami dihubungi polis pada keesokan harinya memaklumkan mengenai penemuan mayat adik dan diminta membuat pengecaman,” katanya.

“Sebenarnya, adik saya ada memaklumkan untuk pergi menemui teman wanitanya. Selepas menerima panggilan telefon daripada gadis berkenaan, mereka berjanji untuk bertemu di sebuah pondok di kebun kelapa sawit di kampung berkenaan,” katanya yang ditemui di rumahnya di Felda Kerteh Empat dekat Bandar Ketengah Jaya, di sini.

Mohd Haris berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, mereka sekeluarga tidak dapat menahan sebak dan sedih sebaik melihat jenazah mangsa yang berlumuran darah terbaring di atas sebuah tilam di dalam pondok berkenaan.
Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Terengganu, Superintendan Mohd Zani Che Din berkata, polis masih berusaha menjejaki tiga saksi iaitu kenalan mangsa yang dikatakan ada menghantar SMS kepada mangsa sebelum kejadian bagi membantu siasatan.

No comments:

Post a Comment