Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim
nfazlina@bharian.com.my
2010/06/24
Pegawai bank cedera dibelasah, kereta dicuri
KUALA LUMPUR: Seorang kakitangan bank cedera dibelasah tiga lelaki selepas permohonan mereka untuk mendapatkan kad kredit ditolak dalam kejadian di Jalan Selar, Taman Cantik, Cheras, di sini, awal pagi semalam. Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, malang berganda apabila tiga lelaki yang berusia antara 24 hingga 29 tahun itu turut melarikan kereta mangsa yang berusia 27 tahun. Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintendan Abdul Rahim Hamzah Othman, berkata ketika kejadian itu, mangsa dikatakan menemui salah seorang suspek untuk menyerahkan keputusan permohonan kad kredit yang ditolak oleh pihak bank, di Taman Tasik Permaisuri.
Katanya, ketika proses perbincangan dilakukan, dua lagi rakan suspek datang lalu duduk bersama mereka sebelum mangsa meminta diri untuk pulang.
“Dalam perjalanan pulang, mangsa diekori suspek dan dua rakannya sebelum kenderaan yang dinaiki mangsa ditahan di Jalan Selar, kira-kira jam 1 pagi.
“Suspek yang tidak berpuas hati terus mendesak mangsa berulang kali supaya meluluskan permohonannya, namun tidak diendahkan mangsa, sehingga menimbulkan kemarahan suspek dan memukul mangsa dengan batang besi sebelum melarikan kereta Proton Wira miliknya,” katanya ketika dihubungi Berita Harian.
Abdul Rahim berkata, mangsa yang cedera di badan dan muka diselamatkan orang awam sebelum membuat laporan polis di balai berdekatan.
Katanya, bertindak atas laporan yang diterima, pihaknya melancarkan gerakan menjejaki suspek sebelum berjaya mengesan mereka di sebuah rumah di Bukit Antarabangsa, Ampang, kira-kira jam 11 pagi semalam.
“Ketika serbuan dilakukan, semua suspek sedang berehat dan ujian air kencing yang dijalankan mendapati kesemua mereka positif dadah.
“Polis juga menemui satu rantai kunci dan kereta dipercayai milik mangsa,” katanya yang semuanya ditahan reman enam hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan
Wednesday, June 23, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment