Monday, June 14, 2010

Lima pengedar dadah tumpas

Oleh ZAINAL AZHAR MOHAMED
utusankota@utusan.com.my



Kang Chez Chiang (dua dari kanan) menunjukkan ketulan ganja mampat yang dirampas daripada lima orang suspek pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



KUALA LUMPUR 14 Jun - Hanya dengan menggunakan seorang pengedar dadah wanita sebagai umpan, polis berjaya memerangkap lima pengedar dadah secara runcit yang aktif di sekitar Lembah Klang, sejak beberapa bulan lalu.

Kejayaan menjerat kelima-lima suspek yang terdiri daripada seorang wanita dan empat lelaki berusia 30 hingga 38 tahun itu bermula dengan penahanan seorang wanita berusia 30 tahun di Setapak di sini kerana memiliki syabu seberat 125 gram.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Kang Chez Chiang, kesemua suspek ditahan dalam tempoh 14 jam pada Khamis lalu.

Menurutnya, setelah menjalankan siasatan terhadap wanita yang merupakan suspek pertama itu, pihaknya menangkap dua lelaki di sebuah hotel di Jalan Haji Hussein yang sedang memproses 1.370 kilogram (kg) dadah jenis ganja dan tiga gram syabu.

"Daripada penahanan itu, kita mendapat petunjuk bagi menahan seorang lelaki yang juga pemandu teksi limousin berusia 36 tahun di hadapan sebuah hotel di Jalan Pudu. Hasil pemeriksaan kita menemui 3 kg. ganja di dalam teksi tersebut.

"Dalam siasatan yang dijalankan terhadap rumah pemandu teksi berkenaan di Batu Caves selepas itu, kita menemui 2 kg. ganja lagi, sebelum menahan isteri suspek berusia 34 tahun yang berada di rumah ketika itu.

"Kita juga percaya pemandu teksi itu menjalankan kegiatan pengedaran ganja dengan menggunakan teksinya untuk mengaburi mata pihak berkuasa," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini hari ini.

Chez Chiang menambah, hasil maklumat yang diberikan pemandu teksi terbabit, polis kemudian menahan suspek terakhir berusia 33 tahun kerana membawa lapan ketulan ganja seberat lapan kilogram.

Jelasnya, ganja itu ditemui di dalam kereta Perodua Kelisa yang dipandunya ketika dia berhenti di sebuah stesen minyak di Jinjang.

Beliau berkata, hasil daripada kesemua tangkapan dalam tempoh 14 jam itu, sebanyak 11.7 kg ganja dan 128 gram syabu bernilai RM76,000 telah dirampas.

Katanya, kesemua suspek yang terdiri daripada penganggur, pemandu sambilan, peniaga dan pelayan restoran terbabit telah direman antara empat dan tujuh hari bermula Jumaat lalu.

Sementara itu, dalam serbuan berasingan yang dilakukan terhadap sebuah rumah di Taman Kobena, Cheras, Sabtu lalu, polis berjaya merampas sebanyak 841 gram heroin bernilai RM47,000.

Chez Chiang berkata, rampasan itu berjaya dilakukan setelah polis menahan seorang lelaki berusia 29 tahun di Taman Maluri di sini.

"Pemeriksaan awal terhadap badan suspek ketika ditahan tidak menemui sebarang dadah yang dibawa, oleh itu kita melakukan pemeriksaan lanjut di rumahnya di Taman Kobena.

"Di situ, kita menemui dua ketulan mampat heroin yang belum diproses dan 194 peket heroin yang telah diproses," ujarnya.

Menurutnya, suspek telah direman selama tujuh hari bermula Sabtu lalu untuk disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952

No comments:

Post a Comment