KUANTAN 17 Jun 2010 - Seorang pesara yang baru menonton perlawanan Piala Dunia kerugian sebanyak RM3,000 selepas disamun sekumpulan penyamun bersenjata tajam di rumahnya di Taman Kempadang Makmur, di sini awal pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu, empat suspek yang bersenjatakan kapak, parang dan pisau memasuki rumah mangsa yang sedang nyenyak tidur.
Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kuantan, Deputi Supritendan Kamaruzzaman Jaafar berkata, mangsa yang berusia 50-an itu tidur bersama anak lelakinya yang berumur 21 tahun di ruang tamu selepas menyaksikan perlawanan Piala Dunia manakala dua anak perempuannya yang berumur 15 dan 20 tahun tidur di loteng.
"Mangsa dan anaknya yang sedang nyenyak tidur tiba-tiba dikejutkan oleh salah seorang suspek yang pada masa itu telah berada di dalam rumahnya.
"Mangsa yang panik melihat empat suspek memegang kapak, parang dan pisau itu mendiamkan diri sebelum menurut arahan mereka," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini hari ini.
Katanya, mangsa dan anaknya itu turut diikat kaki dan tangan dengan kain sebelum diarah menyerahkan wang tunai serta barangan berharga.
"Mujur suspek tidak menyedari kedua-dua anak perempuan mangsa yang tidur di loteng bahagian atas rumah tersebut," katanya.
Kamaruzzaman berkata, kesemua suspek yang berusia 30 hingga 40-an itu dipercayai mengumpil tingkap dapur sebelum memasuki ruang tamu mangsa.
"Ekoran kejadian, mangsa kehilangan wang tunai sebanyak RM600, dua komputer riba dan dua telefon bimbit yang jumlah keseluruhannya bernilai hampir RM3,000," katanya.
Bagaimanapun, katanya, mangsa sekeluarga tidak mengalami sebarang kecederaan dan suspek melarikan diri melalui pintu sama.
Tambahnya, kesemua suspek kini diburu polis dan disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya meningkatkan tahap keselamatan rumah masing-masing dan memasang sistem penggera bagi mengurangkan kadar jenayah samun.
Thursday, June 17, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment