KUALA LUMPUR 13 Jun 2010 - Siasatan polis percaya kes pembunuhan seorang pekerja restoran nasi kandar di Kota Damansara semalam bermotif dendam yang berpunca daripada satu hubungan sulit.
Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Supritendan Abdul Razak Elias berkata, setakat ini, polis menolak kemungkinan kejadian itu berunsurkan rompakan.
Katanya, ini kerana semua barang berharga milik mangsa tidak dilarikan oleh penjenayah terbabit.
''Kita percaya motif adalah membalas dendam. Mangsa adalah pekerja biasa di restoran nasi kandar itu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata, polis akan menggunakan bantuan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari kedai-kedai berhampiran untuk menyiasat kes tersebut.
"Walaupun premis itu ada CCTV, kita berusaha untuk mendapatkan rakaman CCTV dari premis berhampiran.
"Ia supaya dapat mengenal pasti lebih jelas suspek dan nombor pendaftaran kereta digunakan," kata beliau.
Menurutnya, polis juga percaya suspek bukan pekerja dari India kerana berpendapat agak sukar bagi mereka bebas memiliki kereta dan senjata api.
Katanya, polis kini sedang menyiasat latar belakang mangsa yang pernah bekerja di Pulau Pinang.
"Siasatan dilakukan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," ujarnya lagi.
Dalam kejadian tengah malam semalam, mangsa yang dikenali sebagai Rash, 30-an dari Chennai, India, mati akibat ditembak di perut ketika pulang dari tempat kerja.
Ketika kejadian pukul 12.04 tengah malam, mangsa sedang menaiki tangga ke asrama penginapannya di tingkat dua bangunan sederet dengan restoran tempat dia bekerja.
Berdasarkan rakaman CCTV yang terdapat di premis kejadian, suspek yang bertopi keledar, berjaket biru dan berseluar panjang melepaskan tembakan ke arah mangsa dan melarikan diri menggunakan sebuah kereta Proton Perdana hitam
Sunday, June 13, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment