Sunday, June 27, 2010

Pil ecstacy bernilai RM86,000 dirampas

2010/06/28
JOHOR BAHRU: Polis merampas 2,165 pil ecstacy bernilai kira-kira RM86,600 dalam satu serbuan di sebuah pusat hiburan di Bandar Baru Permas Jaya, di sini awal pagi semalam.

Dalam serbuan kira-kira jam 4.40 pagi itu, anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman menahan pemilik premis berusia 40-an bagi membantu siasatan berhubung penemuan pil terbabit. Ketua Operasinya, Deputi Superintendan Aida Abdul Hamid berkata, pil khayal itu ditemui di dalam beg plastik di premis terbabit dan dipercayai untuk dijual kepada pelanggan yang datang ke pusat itu dengan harga tertentu. “Berdasarkan siasatan awal, kita dapati pil terbabit dijual kepada pengunjung pusat hiburan dengan harga RM40 sebiji atau RM100 untuk tiga biji.

“Setakat ini kami masih lagi meneruskan usaha mengesan dalang yang menjadi pemilik atau pengedar dadah terbabit, " katanya di sini, semalam.

Aida berkata, ketika serbuan, pihaknya turut menahan 126 pengunjung untuk menjalani ujian saringan air kencing dan daripada jumlah itu, 74 individu berusia antara 20 hingga 60 tahun positif mengambil syabu, ketamin serta amphetamine.

“Selain itu, kita turut menahan dua wanita warga China dengan seorang daripadanya positif dadah dan seorang lagi tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah," katanya.
Aida berkata, pemantauan terhadap premis terbabit sudah dijalankan sejak seminggu lalu sebelum serbuan membabitkan 35 anggota termasuk unit Urusetia Tatatertib Bukit Aman itu dibuat.

“Melihat pada hasil serbuan, kita percaya operasi kali ini merekodkan jumlah rampasan terbesar pil ecstacy pada tahun ini, ” katanya.

“Individu yang ditahan dibawa ke Balai Polis Larkin untuk siasatan lanjut mengikut 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Polis juga mengeluarkan saman terhadap premis kerana didapati beroperasi melebihi tempoh yang dibenarkan, ” katanya

No comments:

Post a Comment