Wednesday, June 16, 2010

Balu mangsa dipukul polis dapat RM90,000

2010/06/17
KUALA LUMPUR: Balu kepada seorang pekerja kilang yang mati dipukul anggota polis dalam sekatan jalan raya di Puchong dekat sini, lapan tahun lalu, menerima pampasan RM90,000 daripada kerajaan.

Siti Rohana Mohamed, 27, iaitu balu kepada Ramli Othman bersetuju dengan tawaran kerajaan bagi menyelesaikan tuntutan saman kecuaian RM2 juta difailkannya terhadap kerajaan dan lima lagi di luar mahkamah. Peguamnya, M Manoharan berkata Mahkamah Tinggi sudah merekodkan penyelesaian kes itu dan pihaknya sedang menunggu pembayaran daripada kerajaan. Beliau berkata, kerajaan akan membayar pampasan itu bagi pihak Ketua Polis Balai Puchong, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Ketua Polis Negeri Selangor dan Ketua Polis Negara, semua defendan.

Bagaimanapun, anak guamnya meneruskan tuntutan saman sivil terhadap Konstabel Mohd Izwan Sahak yang sudah keluar penjara.

Pada 21 Ogos 2008, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Muhamad Ideres Muhamad Rapee, mengenakan hukuman penjara 10 tahun terhadap Mohd Izwan selepas dia didapati bersalah menyebabkan kematian Ramli di Batu 13, Puchong, jam 1 petang, 26 Mei 2002.

Dalam pernyataan tuntutan, Siti Rohana mendakwa ketika kejadian, Ramli sedang menunggang motosikal bersama Mohamed Fadelli Maulud melalui lorong motosikal di Batu 13, Puchong berdekatan plaza tol.
Mohd Izwan didakwa tanpa sebarang amaran menghayun kayu terkena kepala Ramli menyebabkannya mati tiga hari kemudian.

Siti Rohana mendakwa tindakan defendan pertama memukul Ramli sehingga menyebabkan kematiannya satu tindakan ganas, membuta tuli, berniat jahat, cuai dan dengan niat untuk membunuh.

Dakwanya lagi, Mohd Izwan tidak mempedulikan langsung keselamatan, nyawa dan kepentingan Ramli selepas melakukan tindakan ganas memukul kepala mangsa.

No comments:

Post a Comment