KUALA LUMPUR 28 Jun 2010 - Bimbang ditangkap kerana melakukan kesalahan samun, seorang lelaki warga Argentina tanpa berfikir panjang nekad menawarkan rasuah RM20,000 kepada dua anggota polis yang menahannya di Kelab Ukay, Ampang di sini petang semalam.
Namun, pemuda berusia 25 tahun itu tersilap memilih mangsa kerana dua anggota polis yang cuba dirasuah itu, jujur dan komited terhadap tugas membanteras jenayah.
Malah, hasil kebijaksanaan dua anggota berpangkat konstabel yang masing-masing berusia 24 dan 26 tahun itu, suspek bersama teman wanitanya seorang rakyat tempatan berjaya ditangkap bersama wang tunai RM17,500.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan berkata, dua anggota polis peronda dari Balai Polis Hulu Klang itu sedang melakukan rondaan dan terserempak dengan suspek memandu sebuah Toyota Avanza dalam keadaan mencurigakan bersama tiga rakannya pada pukul 2.30 petang.
Beliau berkata, menyedari kehadiran polis, suspek bertindak memecut kenderaannya sejauh kira-kira dua kilometer sebelum kereta Avanza itu terbabas di tepi jalan di hadapan Kelab Ukay.
"Suspek yang memandu kereta tidak sempat melarikan diri dan berjaya ditangkap namun tiga rakannya dapat meloloskan diri.
"Hasil pemeriksaan dalam kereta suspek, polis menemui televisyen skrin paparan kristal cecair (LCD) dan set teater rumah dipercayai baru disamun dari sebuah rumah di Bukit Antarabangsa," katanya di sini hari ini.
Abdul Jalil berkata, polis turut menemui pelbagai jenis peralatan digunakan oleh kumpulan penjenayah terbabit untuk memecah masuk rumah mangsa manakala nombor pendaftaran kenderaan pula didapati palsu.
Ketika diperiksa, kata beliau, suspek mengambil kesempatan menawarkan wang tunai RM10,000 kepada dua anggota terbabit supaya membebaskannya.
Namun, katanya, anggota terbabit tidak 'gelap mata' dengan wang yang banyak itu tetapi dalam masa sama berpura-pura setuju menerima tawaran tersebut bertujuan memerangkap suspek.
"Mereka berpura-pura setuju menerima wang rasuah itu setelah suspek sanggup menaikkan nilai tawaran kepada RM20,000 dan menghubungi teman wanitanya meminta datang menyerahkan wang itu di Balai Polis Hulu Klang pada pukul 5.30 petang.
"Teman wanita suspek berusia 41 tahun berasal dari Petaling Jaya kemudian datang ke balai bersama bungkusan berisi wang RM17,500 dan dia ditangkap semasa menyerahkan wang tersebut," katanya.
Abdul Jalil berkata, siasatan mendapati, wanita terbabit turut mempunyai tiga rekod kesalahan lampau berkaitan samun.
Beliau berkata, pasangan kekasih ini didapati turut mempunyai kaitan dengan kumpulan rakyat Amerika Latin yang ditangkap polis kerana terlibat dalam kejadian pecah rumah di sekitar Ampang baru-baru ini.
Monday, June 28, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment