Monday, June 28, 2010

Pemandu dihukum gantung bunuh anak teman wanitanya

28/06/2010 6:21pm


KUALA LUMPUR 28 Jun – Seorang pemandu yang juga bekas pengawal peribadi seorang “Datuk” hari ini dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur setelah didapati bersalah membunuh anak perempuan teman wanitanya yang berusia dua tahun dan 11 bulan pada 2005.

Hakim Datuk Ghazali Cha berkata, pihak pembelaan yang mewakili Davender Singh Sher Singh, dari Taman Ibu Kota, Gombak, yang sudah beristeri telah gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah.

Ghazali berkata, peruntukan undang-undang di dalam pertuduhan membunuh adalah jelas, iaitu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan hanya dimaktubkan satu hukuman sahaja iaitu digantung sehingga mati.

Davender Singh, 49, didakwa membunuh Nur Farah Adila Ridzuan di No TA-12, Jalan Mewah 3, Taman Ampang, di antara 16 Jun hingga 1 Julai 2005.

Ghazali berkata, adalah mustahil bagi tertuduh untuk tidak mengetahui bahawa perbuatannya boleh menyebabkan maut kepada si mati.

Beliau menjelaskan keterangan saksi utama iaitu ibu mangsa Noriahanim Udin, 38, seorang pekerja hotel, bahawa Davender merupakan orang yang bertanggungjawab melakukan siri “rawatan”, yang mendatangkan kecederaan serius sehingga rusuk kanan dan kiri si mati patah.

"Laporan perubatan dan bedah siasat juga menunjukkan pankreas si mati sudah bernanah dan hampir semua organnya tidak berfungsi akibat dipukul dengan suatu objek tumpul,” jelas Ghazali. – Bernama

No comments:

Post a Comment