Thursday, June 24, 2010

Ketamin RM80,000 dirampas

Mohd. Shakaruddin Che Mood menunjukkan dadah yang dirampas daripada seorang lelaki yang cuba melarikan diri daripada sekatan polis, di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, Hulu Langat semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



HULU LANGAT 24 Jun - Tindakan seorang lelaki melarikan diri daripada sekatan jalan raya di Bandar Mahkota Cheras dekat sini akhirnya membongkar kegiatannya mengedar dadah jenis ketamin bernilai RM80,000.

Selepas dikejar dan berjaya ditangkap di Sungai Long di sini kira-kira pukul 10 malam tadi, polis menemui sejumlah tujuh bungkusan plastik mengandungi ketamin dalam bakul motosikalnya.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Shakaruddin Che Mood berkata, suspek berusia 30-an itu cuba menyembunyikan dadah di dalam kotak minuman air mineral yang diletakkan dalam bakul kenderaan ditungganginya.

"Hasil pemeriksaan, polis menemui tujuh kilogram dadah itu yang dibalut dengan surat khabar dan dianggarkan bernilai RM80,000.

"Kami turut merampas motosikal milik suspek, dua buah telefon bimbit dan wang tunai sebanyak RM1,270," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang di sini hari ini.

Menurut beliau, suspek dipercayai penghantar dadah sejak awal tahun ini di sekitar Kajang, Bandar Mahkota Cheras dan Sungai Long namun tidak memiliki rekod jenayah.

Dalam satu lagi kes, kata beliau, Polis Selangor menahan seorang lelaki berusia lingkungan 20-an yang disyaki mengedar dadah di Taman Suntex, Cheras malam tadi.

Ketika ditahan, katanya, suspek sedang menunggang motosikal dan apabila menyedari kehadiran polis dia cuba melarikan diri.

Ekoran itu, polis telah mengejarnya dan berjaya menahan suspek di Jalan Kijang dan hasil pemeriksaan, polis menemui 48 peket lutsinar dipercayai dadah jenis heroin seberat 123 gram bernilai RM3,000 dalam poket suspek.

Beliau memberitahu, kedua-dua suspek kini ditahan reman sehingga 30 Jun depan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952.

No comments:

Post a Comment