Oleh ASSIM HASSAN dan ASRULNA'IM ABDULLAH
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 21 Jun 2010 - Lebih tujuh orang kenamaan yang dipercayai terlibat dalam sindiket judi bola sepak Piala Dunia 2010 dikesan telah melarikan diri ke luar negara.
Berikutan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menjalinkan kerjasama risikan dengan polis antarabangsa (Interpol) sejak April lalu dan percaya akan dapat mengesan individu terbabit.
Perkara itu disahkan sendiri oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin.
Menurut beliau, polis mengesan dua atau tiga sindiket besar yang menjalankan pertaruhan judi bola sempena kejohanan terbesar bola sepak itu yang melarikan diri ke luar negara.
"Bagaimanapun, kita percaya mereka masih meneruskan perjudian ini dengan menggunakan rangkaian Internet di luar negara dan pertaruhan menggunakan mata wang asing," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.
Baru-baru ini, Mohd. Bakri mendedahkan bahawa PDRM mengenal pasti empat sindiket besar di negara ini yang turut didalangi individu berpangkat Datuk menganjurkan pertaruhan judi bola sepak.
Sindiket itu dikesan mampu mengaut keuntungan mencecah RM1 bilion sepanjang kempen Piala Dunia berlangsung selama sebulan.
Malah, sejak dua minggu operasi 'Ops Soga' diadakan, khusus bagi membanteras kegiatan perjudian bola sepak haram, polis telah menumpaskan beberapa sindiket perjudian membabitkan jumlah pertaruhan sebanyak RM300.7 juta.
Mengulas lanjut mengenai kejayaan 'Ops Soga', Mohd. Bakri berkata, pihaknya telah membuat sebanyak 156 serbuan dan menahan seramai 129 individu yang terlibat sebagai bookie dan kaki judi.
Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak 30 serbuan dilakukan oleh polis Bukit Aman dan menahan 30 individu dengan nilai pertaruhan RM200 juta.
"Ada di kalangan individu yang ditahan berusia 15 tahun dan merupakan seorang pelajar. Hasil risikan mendapati, pertaruhan judi bola ini menggunakan dua kaedah iaitu secara manual dan talian terus (online).
"Setiap kaki judi akan membuat pertaruhan sekurang-kurangnya RM50 hingga ke RM2,000 bagi setiap perlawanan. Siasatan awal kita turut mendapati seramai 200,000 kaki judi akan membuat pertaruhan bagi setiap perlawanan," jelasnya.
Mohd. Bakri turut mendedahkan, anggaran jumlah yang dipertaruhkan untuk setiap sindiket adalah kira-kira RM100,000 bagi tiga perlawanan sehari, iaitu purata antara RM30,000 hingga RM40,000 bagi setiap perlawanan.
Katanya, kejayaan polis menumpaskan sindiket judi bola sepak ini turut dibantu oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
"Polis akan sentiasa memantau perkara ini dan telah mengarahkan semua kontinjen di seluruh negara melakukan siasatan serta serbuan jika mengesan pertaruhan judi bola sepak berlaku," tegasnya
Monday, June 21, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment