Monday, June 14, 2010

161 rakyat Malaysia hilang di luar negara

Oleh Hardi Effendi Yaacob

2010/06/15
Ramai dikesan diperalat sindiket antarabangsa

KUALA LUMPUR: Seramai 161 rakyat tempatan, dengan 97 daripadanya gadis dan wanita dilaporkan hilang di luar negara sejak dua tahun, dipercayai diperalatkan sindiket jenayah antarabangsa.

Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong ketika mendedahkan perkara itu berkata, kebanyakan individu terbabit hanya berjaya dikesan selepas ditahan pihak berkuasa di negara asing atas kesalahan pelbagai jenayah. “Seramai 117 individu berjaya ditemui semula oleh keluarga atau waris mereka hasil usaha sendiri atau dengan bantuan kedutaan dan Wisma Putra. “Seramai 39 individu lagi masih gagal dikesan hingga kini dan dipercayai berada di luar negara berdasarkan laporan dibuat keluarga mereka.

“Bagaimanapun, ada kes orang hilang itu yang hanya berjaya dikesan selepas mereka ditahan kerana melakukan jenayah, terutama membabitkan kesalahan dadah dan pemalsuan kad kredit didalangi sindiket antarabangsa,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Beliau berkata, pihaknya merekodkan lima kes individu hilang ditahan di China kerana menyeludup dadah.

“Ini termasuk seorang wanita berusia 50-an yang dipenjarakan di Naning, China sejak Disember 2008 selepas dimaklumkan suaminya yang meminta bantuan kami untuk menyelamatkan isterinya,” katanya.
Difahamkan, wanita itu memaklumkan kepada suaminya beliau ke Hanoi, Vietnam untuk bercuti pada Oktober 2008.

Bagaimanapun, apabila suaminya menunggu di lapangan terbang pada tarikh beliau dijadualkan pulang, wanita itu tidak muncul, selain gagal dihubungi sebelum meminta bantuan Biro Pengaduan Awam MCA dua bulan kemudian.

“Atas nasihat kita, mangsa meminta bantuan Wisma Putra sebelum dimaklumkan seorang pegawai bahawa isterinya ditahan di penjara di Naning, China atas kesalahan membawa dadah.

“Dia kini menunggu laporan daripada Wisma Putra untuk membebaskan isterinya,” katanya.

Chong mengesahkan wanita itu diperalatkan sindiket dadah antarabangsa yang memperdayakan mangsa dengan menawarkan pakej percutian secara percuma.

Justeru, Chong menasihatkan rakyat negara ini, terutama wanita tidak mudah terpedaya dengan mana-mana tawaran percutian secara percuma ke luar negara bagi mengelak diperalatkan sebagai keldai dadah atau untuk jenayah lain

No comments:

Post a Comment