SHAH ALAM 24 Jun 2010 - Sembilan bersaudara termasuk empat adik beradik mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas tuduhan menyebabkan kematian seorang pemilik restoran warga India tiga tahun lalu.
T. C. Letchumanan, 31, Anan Babu, 24, Rajendran, 25, Rajasegaran, 28, serta K. Bagavathy, 22, A. Poovendren, 21, S. Kumarasevam, 22, G. James, 23, dan V. Avindran, 24, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan pindaan dibacakan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Siti Khadijah Sheikh Hassan Badjenid.
Mereka sebelum ini mengaku tidak bersalah atas tuduhan membunuh R. Praphukumar yang merupakan bapa saudara kepada adik beradik terbabit di hadapan Restoran Triple 8 Corner, No. 55G, Taman Segar Perdana, Batu 9, Cheras dekat sini pada pukul 12.30 malam, 3 Mac 2007.
Mereka bagaimanapun menukar pengakuan kepada bersalah selepas pendakwaan menawarkan pertuduhan pindaan mengikut Seksyen 149 dan 304 (a) Kanun Keseksaan yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda.
Pertuduhan pindaan menyebut, mereka didakwa sebagai ahli perhimpunan yang menyalahi undang-undang telah menyebabkan kematian Praphukumar pada masa dan tempat yang sama.
Menurut fakta kes, mangsa telah diserang di hadapan restoran miliknya setelah dikatakan mencabul kehormatan adik perempuan empat bersaudara.
Akibatnya mangsa meninggal dunia ketika dirawat di sebuah hospital pada 10 Mac 2007 ekoran kecederaan pada bahagian kepala dan badan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Isa Hassim sementara empat beradik itu diwakili peguam Roy Angau anak Gingkoi manakala yang lain diwakili K. A. Ramu, S. S. Ruben dan J. T. Sambathan dan P. Krishnan.
Mahkamah menetapkan Isnin ini untuk mendengar rayuan lanjut sebelum menjatuhkan hukuman
Thursday, June 24, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment