KUALA LUMPUR 22 Jun 2010 – Sebagai seorang ibu, mereka sepatutnya menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak. Namun, apa yang berlaku pada seorang wanita ini adalah sebaliknya apabila dia sanggup mengajar dua anak perempuannya yang masih kecil menjadi pencuri profesional.
Wanita yang tidak bekerja itu mempergunakan anak perempuan berusia dua dan 12 tahun untuk membantunya mencuri kad kredit milik pelanggan bank di sekitar Lembah Klang.
Kad kredit yang dicuri tiga beranak itu kemudian digunakan untuk membeli apa sahaja barangan termasuk barang kemas.
Namun, kegiatan wanita berusia 39 tahun yang diburu polis sejak Januari lalu akhirnya tumpas selepas dia ditangkap di sebuah bank di Seri Kembangan dekat sini kira-kira pukul 3.15 petang semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Supritendan Abdul Rahim Hamzah Osman berkata, wanita terbabit diburu selepas sebuah bank di Cheras mengesan perbuatan jenayahnya dan membuat laporan polis pada awal tahun ini.
Beliau berkata, bertindak atas laporan dan maklumat pihak bank, sekumpulan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman berjaya mengesan suspek di sebuah bank di Seri Kembangan petang semalam.
Katanya, semasa ditahan, suspek dipercayai sedang merancang memperdayakan pelanggan bank tersebut manakala dua anak perempuannya menunggu dalam kereta.
“Modus operandi wanita ini ialah pergi ke mana-mana bank dan berpura-pura berbual dengan pelanggan di situ.
“Ketika sedang leka berbual, anak perempuan suspek akan menyeluk beg atau poket seluar mangsa untuk mengambil dompet mereka tanpa disedari,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tuesday, June 22, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment