PETALING JAYA 24 Jun - Polis berjaya menumpaskan dua kumpulan penjenayah yang aktif menyamun kedai serbaneka 7 Eleven dengan tertangkapnya 17 lelaki dalam beberapa serbuan di sekitar daerah ini sejak 26 Mac lalu.
Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, geng samun pertama tumpas setelah kesemua 11 anggotanya yang berusia 15 hingga 25 tahun termasuk seorang pelajar berjaya ditangkap.
"Tangkapan ini membolehkan kita menyelesaikan 14 kes samun di kedai 7 Eleven dilaporkan berlaku di Petaling Jaya, Subang Jaya dan Kuala Lumpur.
"Geng samun kedua pula dipercayai dianggotai oleh tujuh lelaki berusia 19 hingga 25 tahun tetapi hanya empat orang dapat ditangkap setakat ini," katanya.
Beliau berkata, hasil siasatan daripada tujuh lelaki yang ditahan, polis berjaya menyelesaikan 22 kes samun di kedai 7 Eleven.
Katanya, kedua-dua kumpulan penjenayah ini menggunakan pisau atau topi keledar sebagai senjata semasa menyamun wang tunai dan rokok dari kedai berkenaan.
Arjunaidi berkata, kesemua yang ditahan kini dikenakan perintah sekatan di daerah tertentu manakala pelajar berusia 15 tahun pula dikenakan sekatan di rumah iaitu tidak dibenarkan keluar rumah selepas pukul 7 malam.
Dalam kes lain, seorang ibu membuat laporan polis terhadap teman lelaki anaknya setelah pemuda terbabit menghamilkan anak gadisnya yang berusia 17 tahun itu sehingga melahirkan bayi perempuan awal bulan ini.
Arjunaidi memberitahu, pelajar perempuan itu telah melahirkan seorang bayi perempuan di Hospital Sungai Buloh pada 2 Jun lalu.
Beliau berkata, bayi terbabit dipercayai hasil hubungan sulit antara remaja perempuan itu dengan kekasihnya yang belajar di sekolah yang sama.
"Bagaimanapun, remaja lelaki itu enggan bertanggungjawab terhadap teman wanitanya menyebabkan ibu gadis itu melaporkan perbuatannya kepada polis.
"Hasil siasatan, remaja perempuan itu mengaku melakukan hubungan seks dengan teman lelakinya tanpa paksaan tetapi polis tetap mengklasifikasikan kes ini sebagai rogol kerana remaja ini masih bawah umur," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di sini hari ini.
Beliau berkata, suspek bagaimanapun belum ditahan kerana kini berada di Australia untuk melanjutkan pelajaran
Thursday, June 24, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment