Thursday, June 24, 2010

Tauke dobi maut, polis parah dirempuh

Oleh Rudy Syareme Sheriffudin

2010/06/25
GEORGETOWN: Seorang pengusaha kedai dobi yang dalam perjalanan mengutip pakaian pelanggannya terbunuh, manakala seorang anggota polis parah selepas dirempuh sebuah kereta dipandu lelaki yang dipercayai cuba mengelak sekatan jalan raya di Jalan Masjid Negeri di sini, awal pagi semalam.

Dalam kemalangan jam 4.30 pagi itu, M Muniandy, 65, yang menunggang motosikal, yang baru diperiksa Konstabel Raja Rosanizam Raja Roslan, 23, dirempuh kereta Honda Civic yang dinaiki empat lelaki akibat hilang kawalan selepas terlanggar kereta Naza Forte. Rempuhan itu menyebabkan Muniady cedera parah dan meninggal dunia di sebuah hospital swasta di sini, jam 8 pagi semalam. Kereta terbabit yang dipandu seorang lelaki, dipercayai mabuk, turut merempuh Raja Rosanizam yang sebelum itu memeriksa motosikal yang ditunggang Muniandy dalam sekatan jalan raya di situ.

Akibat rempuhan berkenaan, anggota Pasukan Gerakan Am dari Kulim yang masih bujang, itu patah tulang rusuk dan tangan kanan. Beliau kini dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) dan masih belum sedarkan diri.

Wanita berusia 20-an yang memandu Naza Forte cedera ringan, manakala empat lelaki dalam kereta Honda Civic itu tidak mengalami kecederaan, tetapi pemandu berusia 27 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

Timbalan Ketua Polis Negeri, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah, berkata kemalangan itu membabitkan tiga kenderaan termasuk dua kereta dan motosikal yang diperiksa dalam sekatan jalan raya.
Siasatan awal mendapati pemandu Honda Civic itu berada di bawah pengaruh alkohol yang tinggi. Dia ditahan bagi membantu siasatan, katanya ketika melawat Raja Rosanizam di HPP, semalam.

Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu sehingga menyebabkan kematian.

Siasatan juga akan dilakukan mengikut Seksyen 44 akta yang sama kerana memandu di bawah pengaruh alkohol.

Sementara itu, anak Muniandy, M Magendrajan, 31, yang bekerja sebagai pemandu ambulans di sebuah hospital swasta, berkata bapanya keluar awal untuk mengutip pakaian bagi mengelak kesesakan lalu-lintas.

Semalam, bapanya dalam perjalanan mengutip pakaian di sebuah restoran nasi kandar di Sungai Pinang di sini.

No comments:

Post a Comment