Sunday, June 20, 2010

Nenek sembunyi dadah dalam coli

Oleh Faizul Azlan Razak

2010/06/21
Polis rampas 20 botol heroin, wang tunai

KUALA TERENGGANU: Seorang nenek muda berusia 43 menyembunyikan 20 botol dadah bernilai RM28,000 dalam coli ketika ditahan di kawasan stesen bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), di sini, Khamis lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri (JSJN), Roslan Abd Wahid, berkata dalam serbuan kira-kira jam 6 pagi itu, wanita berstatus ibu tunggal dari Jalan Merdeka, Rantau Panjang, Kelantan bersama rakannya dilihat dalam keadaan mencurigakan di depan tandas awam stesen bas berkenaan. Beliau berkata, janda empat anak dan sudah mempunyai cucu itu bersama rakannya yang juga janda berasal dari Kampung Pinang, Sungai Besi, Kuala Lumpur dilihat cemas dan gelisah ketika didatangi anggota polis yang melakukan pemeriksaan selepas mendapat maklumat awam mengenai kegiatan pengedaran dadah di sekitar kawasan terbabit. Katanya, hasil pemeriksaan oleh anggota polis wanita menemui 20 botol dadah jenis heroin nombor empat seberat 83 gram, masing-masing 10 pada coli sebelah kanan dan kiri wanita terbabit.

“Selain dadah, polis turut merampas wang tunai RM106, mata wang Thailand bernilai 1,410 bath daripada nenek terbabit hasil jualan bahan terlarang itu.

“Siasatan juga mendapati suspek aktif mengedar dadah sejak awal tahun ini dan mempunyai dua taraf kerakyatan iaitu Malaysia dan Thailand. Rakannya berusia 30 tahun pula mempunyai seorang anak kecil dan kedua-dua mereka adalah penagih pil WY. Mereka juga dipercayai pengedar dadah yang mempunyai rangkaian di sempadan Rantau Panjang dan Golok, Thailand.

“Kedua-dua suspek kini ditahan reman sehingga 23 Jun ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati,” katanya.
Sementara itu, dalam kes berasingan, Roslan berkata, polis menahan seorang remaja berusia 19 tahun yang disyaki pengedar dadah dan merampas 166 pil WY bernilai RM5,000 dalam serbuan di rumah suspek di Kampung Petai Bubus, Manir, di sini, kira-kira jam 10 malam kelmarin.

No comments:

Post a Comment