Oleh Hardi Effendi Yaacob dan Ifwan Tun Tuah
bhnewsi@bharian.com.my
2010/06/24
Pergerakan pendatang diurus sindiket terancang
KUALA LUMPUR: Lebih 10 lokasi di seluruh negara dikenal pasti sebagai tapak pendaratan haram pendatang asing tanpa izin Indonesia untuk berulang alik ke negara asal mereka melalui jalan laut, terutama menjelang musim perayaan. Selain Tanjung Piai, Tanjung Pengelih, Pasir Gudang, Stulang Laut, Kukup, Selat Panjang dan Muar di Johor, lokasi turut dikenal pasti ialah Port Dickson (Negeri Sembilan); Pelabuhan Klang, Kuala Selangor dan Banting di Selangor serta Melaka. Difahamkan, pemilihan lokasi itu berikutan kedudukannya berhampiran beberapa bandar pelabuhan negara jiran termasuk Tanjung Pinang, Batam, Tanjung Balai Karimun, Pekanbaru, Dumai dan Bengkalis di Riau, selain Tanjung Balai Asahan (Sumatera Utara).
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Abdul Rahman Othman, berkata pergerakan pendatang terbabit dijangka semakin aktif dalam tempoh terdekat, terutama menjelang Ramadan dan Aidilfitri tidak lama lagi.
“Inilah trend setiap tahun... mereka balik kampung menjelang puasa dan hanya kembali ke sini selepas raya, dengan setiap perjalanan keluar masuk itu dikendalikan sindiket terancang dipercayai turut membabitkan warga tempatan,” katanya kepada Berita Harian.
Katanya, walaupun menyedari tindakan itu berisiko tinggi, pendatang terbabit tidak mempunyai pilihan, malah ada di antara mereka sanggup membayar tinggi semata-mata mahu mendapatkan tempat.
“Jika menggunakan kapal terbang, sudah tentu mereka akan ditahan (Jabatan Imigresen) di lapangan terbang kerana memasuki negara ini secara haram. Di Sabah dan Sarawak lain ceritalah sebab mereka boleh menggunakan jalan tikus menyeberangi sempadan,” katanya.
Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Laksamana Datuk Mohd Amdan Kurish, berkata sindiket kebiasaannya menggunakan bot pancung bagi memudahkan pergerakan di laut, termasuk melarikan diri dari pihak berkuasa.
“Hasil risikan kita mendapati kegiatan itu yang turut didalangi tekong warga tempatan hanya aktif sepanjang Ramadan dan Aidilfitri untuk menghantar pendatang pulang dan membawa mereka masuk semula ke Malaysia.
“Usaha sedang dipertingkatkan bagi mengenal pasti tekong warga tempatan yang mendalangi kegiatan ini kerana mereka memainkan peranan penting dalam kegiatan itu disebabkan memahami muka bumi Malaysia, terutama lokasi pendaratan yang sesuai,” katanya.
Sementara itu, Komander Pasukan Gerakan Marin Bukit Aman, Datuk Isa Munir ketika dihubungi memaklumkan pihaknya mengenal pasti beberapa ketua sindiket kegiatan haram itu dan sedang menjalankan siasatan lanjut.
“Mereka akan ditahan sebaik siasatan kita lengkap. Polis sentiasa memantau kegiatan ini dan sejak Januari lalu, dua ketua sindiket sudah ditahan mengikut Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Pencegahan Jenayah),” katanya
Wednesday, June 23, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment