Friday, June 11, 2010

Rumah ahli majlis dibom

Oleh Rasmi Abdullah
pengarang@utusan.com.my



KESAN terbakar di hadapan pintu masuk rumah S. Selvadurai akibat dilontar dengan bom api 'molotov cocktail' di Jalan Bungur, Pelabuhan Klang, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



SHAH ALAM 11 Jun - Seorang Ahli Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan ahli keluarganya terselamat walaupun rumah mereka dilempar dengan dua bom api 'molotov cocktail' di Jalan Bungur Off Jalan Tengku Badar, Pelabuhan Klang di sini tengah malam tadi.

Kejadian berlaku pukul 12.10 tengah malam ketika ahli majlis terbabit, S. Selvadurai (gambar), 48, sedang menonton televisyen manakala isterinya, V. Kanniamah, 45, dan anak lelaki mereka, S. Dhivagar, 13, berada di ruang lain di rumah tersebut.

Selvadurai memberitahu, kejadian itu disedarinya apabila terdengar bunyi benda pecah dan tiba-tiba dia ternampak api di hadapan pintu rumahnya.

"Namun api itu berjaya dipadamkan dengan alat pemadam api. Kami sekeluarga terselamat cuma bahagian belakang kereta saya yang terbakar dalam kejadian ini," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Bagaimanapun, Selvadurai yang sudah 28 tahun terlibat dalam politik memberitahu, beliau tidak pernah menerima ugutan atau apa-apa ancaman daripada mana-mana pihak sebelum ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop berkata, anggotanya yang tiba di tempat kejadian menemui dua botol kaca berisi petrol dan salah satu daripadanya mengenai kereta mangsa.

Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan dan pihak polis kini sedang memburu dua lelaki yang menaiki motosikal, dipercayai suspek bagi kejadian tersebut.

"Siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan dan motif kejadian masih belum diketahui," tambahnya

No comments:

Post a Comment