Wednesday, June 23, 2010

Sabah & Sarawak: Pencuri durjana

Oleh Mohd Azrone Sarabatin
azrone@bharian.com.my
2010/06/23
Rumah di Taman Bukit Sepanggar, kolej UMS kerap dipecah masuk

SEPANGGAR: "Rumah penduduk di Taman Bukit Sepanggar dan Kolej Kediaman Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Taman Indah Permai di sini sudah tidak selamat. Setiap malam ada saja rumah dipecah masuk. "Saya pernah kehilangan sebuah kereta jenis Honda City, komputer riba dan peti besi dengan kerugian dianggarkan lebih RM100,000 angkara pencuri durjana," begitulah luahan Masri Faizal, 30, penduduk Taman Bukit Sepanggar yang menjadi mangsa kes pecah rumah, minggu lalu. Masri yang menetap di taman itu sejak setahun lalu, berkata ketika kejadian beliau dan anggota keluarganya pulang kampung di Tawau dan terkejut apabila dimaklumkan jirannya kenderaannya sudah hilang.

Beliau terpaksa meminta jirannya memeriksa persekitaran rumah. Bagaimanapun, mereka terkejut apabila mendapati jeriji dapur rumahnya diumpil dan apabila memasuki rumah itu, pelbagai barangan berselerak.

Masri terpaksa bergegas balik ke rumahnya keesokannya. Apabila diperiksa, pelbagai barangan berharga hilang, termasuk barangan kemas hadiah perkahwinan kepada isterinya.

"Sebelum balik Tawau, ada beberapa lelaki bermotosikal dan pekerja binaan sebuah rumah berdekatan memerhati saya dan keluarga memunggah barang ke dalam teksi. Saya mengesyaki mereka dalang pecah rumah kami.
"Bagaimanapun, setakat ini tiada tindakan diambil polis menahan pekerja terbabit untuk membantu siasatan," katanya.

Masri yang bertugas di sebuah syarikat swasta di Kota Kinabalu, berkata ketiadaan pengawal keselamatan di laluan masuk lorong 5/3B memudahkan penjenayah memasuki kawasan berkenaan.

Beliau mendakwa, sebelum kejadian itu, ada penduduk meminta polis membuat rondaan tetapi polis memaklumkan kepada mereka, anggota polis tidak boleh memasuki kawasan perumahan, sebaliknya hanya meronda di luar.

Sementara itu, seorang pelajar UMS yang menetap di Kolej Kediaman universiti itu di Taman Indah Permai yang enggan namanya disiarkan, mendakwa beliau dan lima rakannya pernah menjadi mangsa curi apabila kehilangan dua komputer riba, sebuah kamera, pendingin komputer riba, tetikus dan sebuah beg pakaian berjenama dengan kerugian dianggar RM10,000, baru-baru ini.

Beliau berkata, sebaik tiba di rumah pada jam 6 petang, mereka terkejut apabila mendapati pintu rumah terbuka serta engsel tombol pintu dipecahkan. Pemeriksaan lanjut mendapati pakaian dan barangan lain bertaburan di lantai.

"Saya menghubungi bapa saudara di taman perumahan berhampiran untuk memaklumkan kejadian itu dan beliau menghubungi polis.

"Kami hairan kerana barang yang hilang hanya dalam bilik kami sedangkan dalam sebuah bilik lagi tidak dicuri. Pencuri itu memang profesional kerana boleh memecahkan pintu tanpa merosakkan tombol dan jeriji.

Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan menerima laporan kedua-dua kes berkenaan

No comments:

Post a Comment