Thursday, June 24, 2010

Duda mahu bertunang esok dijumpai mati kena tikam

2010/06/24
MELAKA: Hasrat seorang lelaki berusia 58 tahun untuk bertunang dengan wanita pilihannya, Sabtu ini (esok), tidak kesampaian apabila dia ditemui mati dibunuh di rumahnya di Taman Saujana Seksyen 2, Bukit Katil, di sini, semalam.

Mayat Mohd Redzwan Ali ditemui dalam keadaan duduk di atas sofa bilik rehat rumahnya dengan tangan terikat dan dua kesan tikaman di dada. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah berkata, kejadian dipercayai berlaku antara jam 9.30 malam dan 3.15 pagi. "Tiada kesan pecah masuk ditemui di rumah mangsa. Kemungkinan rumah itu dimasuki oleh orang yang dikenali mangsa," katanya, di sini.

Mohd Adnan berkata, motif kejadian dipercayai rompakan kerana beberapa peralatan komputer seperti dua monitor LCD dan satu CPU komputer hilang.

Menantu mangsa, Suhaimi Sulong, 34, berkata mayat bapa mentuanya ditemui adik iparnya Ashraf Raznan, 27, selepas pulang daripada berniaga di warung makanan di kawasan Cheng, di sini, kira-kira jam 3.15 pagi dalam rumah yang berselerak.

Bakal tunang mangsa, Noraini Hassan, 30, berkata beliau tergamam ketika mengetahui kejadian itu daripada Ashraf Raznan dan sukar mempercayai kejadian itu berlaku kepada bakal tunangnya.
Beliau yang mengenali Mohd Redzwan lebih setahun lalu, berkata kali terakhir dia berjumpa dengan bakal tunangnya itu, kelmarin ketika pergi membeli barangan keperluan untuk pertunangan mereka.

"Semalam (kelmarin) kami beli cincin dan tempah kek, cincin dia pegang, resit dia bagi saya, suruh saya simpan. Saya tidak boleh tahan rasa sedih bila ingat semua ini," katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Melaka, di sini.

Beliau berkata mereka merancang untuk melangsungkan perkahwinan bulan depan.

"Walaupun usianya jauh lebih tua daripada saya, itu tidak menghalang saya untuk menyayanginya kerana dia mempunyai hati yang baik dan selalu menggembirakan saya...dia amat suka bergurau," katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment