06/05/2010 3:39pm
KUALA LUMPUR 6 Mei 2010 – Polis menahan dua lagi remaja yang terbabit dalam kejadian cubaan samun sebuah pusat Internet 24 jam di Jalan Genting Klang di sini oleh lapan remaja awal pagi semalam, menjadikan semuanya tiga remaja sudah ditahan berhubung kes itu.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Abu Samah Mat berkata, kedua-dua mereka yang berumur 17 tahun itu ditahan petang dan awal pagi ini selepas mereka menyerah diri kepada polis.
Beliau berkata, remaja pertama menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul pada kira-kira pukul 4.30 petang semalam selepas tamat waktu persekolahannya.
"Remaja kedua pula ditahan di rumah keluarganya di Keramat kira-kira pukul 1 pagi,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas mengadakan lawatan sempena Hari Polis di Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini hari ini.
Katanya, siasatan lanjut mendapati remaja pertama bertindak sebagai penyamun dan penunggang motosikal dalam kejadian semalam, manakala suspek kedua adalah pemandu kereta yang berada di luar premis berkenaan, dan kedua-dua suspek tidak mempunyai lesen memandu.
Abu Samah berkata, polis percaya kumpulan ini terlibat dalam beberapa kes di sekitar Lembah Klang dengan modus operandi mereka adalah dengan menyamun pusat Internet pada awal pagi.
Dalam kejadian awal pagi semalam, tujuh lelaki bersenjatakan pedang, gergaji dan pisau menyerbu pusat Internet itu dan mengugut pengunjungnya supaya menyerahkan wang, manakala seorang lagi rakan mereka menunggu di dalam sebuah kereta di luar premis berkenaan.
Seorang daripada tujuh suspek itu ditembak di bahagian kaki selepas cuba menyerang anggota polis dengan melibaskan gergaji. – Bernama
Thursday, May 6, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment