Sunday, May 2, 2010

19 ditahan polis ketika sabung ayam

2010/05/03
KUALA TERENGGANU: Polis menahan seramai 19 orang lelaki berusia antara 18 hingga 55 tahun ketika berjudi sabung ayam di kawasan hutan Bukit Sah, Nerang, Kemaman, tengah hari semalam.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Abdullah Sani Salat, berkata polis merampas 14 ekor ayam sabung dan wang tunai RM102 di tempat kejadian. Beliau berkata pihaknya melancarkan Operasi Dadu yang diketuai Asisten Superintendan Mohd Hisyam Abdullah, bersama 12 anggota dari cawangan jenayah IPD Kemaman setelah mendapat maklumat orang awam. Katanya, kaki judi daripada kalangan penduduk tempatan serta dari Kuantan, Sarawak dan Indonesia dikesan memasuki kawasan itu mulai jam 11 pagi dengan membawa ayam laga dan kegiatan bermula jam 12.30 tengah hari.

"Sebaik kegiatan judi itu dimulakan, polis menyerbu tempat berkenaan menyebabkan kaki judi dan penonton kegiatan tidak bermoral itu bertempiaran lari sambil memegang ayam masing-masing,”katanya.

"Kawasan ini dikenal pasti menjalankan operasi judi laga ayam sejak sebulan lalu," katanya sambil menambah kaki judi membuat pertaruhan untuk laga ayam antara RM500 hingga RM1,000.

Katanya, mereka yang ditahan akan didakwa di bawah Seksyen 7 Akta Rumah Judi Terbuka 1952 dan jika sabit kesalahan boleh didenda RM5,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya sekali

No comments:

Post a Comment