Wednesday, May 26, 2010

Keluarga pelarian ditahan edar dadah

AMPANG JAYA 26 Mei 2010 - Kemewahan hidup lima sekeluarga dari etnik Rohingya yang mendiami sebuah rumah teres di Pandan Mewah di sini, menimbulkan tanda tanya penduduk setempat.

Namun, rahsia keluarga itu terbongkar apabila kesemua mereka ditahan kerana terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah jenis heroin di sekitar kawasan itu.

Kejayaan diperoleh hasil serbuan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Ampang Jaya di rumah mereka pada pukul 8.30 pagi, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan berkata, lima beranak berusia 15 hingga 54 tahun tersebut dikesan bergiat aktif mengedar dadah sejak enam bulan lalu.

Katanya, turut ditemui sejumlah dadah jenis heroin yang dibungkus di dalam peket-peket kecil dan straw bernilai RM4,000.

"Mereka yang ditahan terdiri daripada sepasang suami isteri dan tiga anak perempuan, memegang kad pelarian Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNCHR).

"Ketika ditahan, mereka sedangmembungkus dadah di rumah sewa itu untuk diedarkan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati pelanggan mereka terdiri daripada rakan-rakan senegara dan orang tempatan.

Katanya, sumber bekalan dadah yang diperoleh mereka pula dipercayai dari Flat San Peng di sini.

Tambah Abdul Jalil, ujian saringan air kencing mengesahkan kesemua suspek negatif dadah.

"Suspek-suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam untuk membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," ujarnya.

Dalam kes berasingan, katanya, polis menahan empat lelaki dipercayai ah long berusia antara 24 dan 29 tahun di sebuah restoran Pandan Perdana, Ampang, Isnin lalu.

"Turut dirampas sebuah kereta Toyota Vios, lapan buah telefon bimbit dan sejumlah wang.

"Selain itu, tujuh keping kad mesin juruwang automatik (ATM) milik peminjam, beberapa helai salinan kad pengenalan peminjam, empat kotak kad nama lutsinar dan tiga bakul iklan perniagaan tersebut," ujarnya.

Beliau berkata, polis percaya kegiatan kumpulan tersebut yang bergelar 'Ah Yong' itu beroperasi di sekitar Ampang.

Tambah Abdul Jalil, siasatan polis mendapati, dua daripada suspek itu mempunyai rekod kesalahan jenayah kekerasan dengan mencederakan orang lain.

"Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi dan Peminjam Wang 1951 iaitu denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

"Saya menasihatkan orang ramai yang pernah diugut oleh kumpulan ah long berkenaan agar membuat laporan polis dengan segera," katanya.

Beliau memberitahu, satu pasukan khas telah ditubuhkan untuk menangani kumpulan ah long tersebut dengan dianggotai oleh Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Kuala Lumpur, awal bulan ini.

No comments:

Post a Comment