Tuesday, May 18, 2010

Lagi makmal proses dadah diserbu

Shafien Mamat (tengah) menunjukkan sebahagian daripada dadah jenis heroin yang dirampas daripada dua lelaki semasa sidang akhbar di Nibong Tebal, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



NIBONG TEBAL 18 Mei 2010 - Polis membongkar sindiket pengedaran dadah terbesar di daerah ini selepas menyerbu sebuah rumah teres yang dijadikan makmal memproses dadah jenis heroin di Taman Tambun Emas, Simpang Ampat di sini baru-baru ini.

Dalam serbuan kira-kira pukul 12.10 tengah malam Sabtu lalu, polis turut merampas sejumlah heroin yang dianggarkan bernilai RM150,000 selain menahan dua lelaki berusia 23 dan 27 tahun.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Supritendan Shafien Mamat berkata, pihaknya mendapat maklumat mengenai sebuah kereta Proton Wira yang dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah.

Berdasarkan maklumat itu, katanya, polis kemudian mengekori kenderaan terbabit sebelum bertindak menyerbu rumah teres berkenaan yang disewa sejak beberapa bulan lalu.

"Polis menggeledah rumah itu dan menemui beberapa peket plastik berisi ketulan dadah dipercayai heroin dalam sebuah bilik.

"Kesemua dadah itu dianggarkan seberat 3.2 kilogram dan harga pasarannya ketika ini kira-kira RM150,000," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Shafien, rumah terbabit dipercayai disewa untuk dijadikan pusat pembungkusan oleh kedua-dua suspek yang tidak mempunyai pekerjaan tetap.

Tambahnya, kedua-dua suspek tidak memiliki rekod jenayah malah ujian air kencing yang dilakukan mendapati mereka negatif dadah.

Polis, katanya, percaya dadah terbabit untuk diedarkan di pasaran tempatan oleh kedua- dua suspek yang yang berasal dari Jitra, Kedah dan Pulau Pinang.

Mereka kini direman sehingga 21 Mei ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

No comments:

Post a Comment