Thursday, May 6, 2010

Mohd. Rizal dituduh bunuh isteri

JOHOR BAHRU 6 Mei 2010 - Setelah 13 hari kematian seorang pembuat kek yang ditemui dengan kesan tikaman di dadanya, hari ini suami wanita itu dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan membunuh.

Mohd. Rizal Esa, 30, didakwa membunuh Ahzila Mohamad Sufian, 23, di rumah bernombor 214, Tingkat 12 Blok C, Rumah Pangsa Larkin di sini antara pukul 1.30 dan 3 pagi, 24 April lalu.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Amira Sariaty Zainal mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Majistret Norshahid Abd. Malik menetapkan 7 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes tersebut.

Memetik laporan akhbar sebelum ini, Ahzila yang merupakan ibu kepada tiga anak ditemui mati dengan beberapa kesan tikaman di dadanya dipercayai akibat perbuatan suaminya.

Mayat mangsa ditemui oleh polis dalam keadaan terlentang dan berlumuran darah di ruang tamu rumahnya kira-kira pukul 2 petang.

Lelaki itu yang menghilangkan diri selepas kejadian tersebut berjaya diberkas polis kira-kira pukul 6 petang sehari kemudiannya di Kota Tinggi.

No comments:

Post a Comment