Wednesday, May 19, 2010

RM160,000 lesap tiga minit

Anggota forensik melakukan siasatan ke atas sebuah van membawa wang tunai yang dirompak dalam kejadian di Jalan Paya Terubong, Pulau Pinang, semalam. - Utusan/Zhafaran Nasib

--------------------------------------------------------------------------------



PULAU PINANG 19 Mei - Dalam tempoh tiga minit, tiga lelaki bersenjatakan sepucuk pistol dan selaras raifal melarikan wang tunai RM160,000 dari sebuah van keselamatan dalam rompakan di Jalan Paya Terubong, Air Itam, di sini hari ini.

Kejadian dipercayai berlaku pada pukul 12.30 tengah hari ketika van milik syarikat Property Protection Sdn. Bhd. itu baru sahaja selesai melakukan kutipan harian di dua buah pasar raya di Bayan Baru dan Taman Lip Sin di sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Senior Asisten Komisioner II Wan Abdullah Tuanku Said, berkata, ketika kejadian, van tersebut dinaiki oleh tiga pengawal keselamatan berusia 40-an itu.

Katanya, van itu kemudian bergerak ke sebuah lagi pasar raya di Air Itam namun tiba-tiba dihalang sebuah kereta Proton Wira berwarna coklat.

"Selepas kereta itu menghalang van tersebut, dua lelaki yang memakai penutup muka turun dari kereta dan mengacukan sepucuk pistol dan raifal ke arah tiga pengawal keselamatan di dalam van lalu mengarahkan mereka menyerahkan wang kutipan.

"Siasatan awal pihak polis mendapati dua suspek dipercayai warga tempatan dan berusia 30-an itu melarikan wang berjumlah RM160,000 yang diletakkan di dalam satu kontena besi.

"Bagaimanapun baki wang tunai sebanyak RM20,000 yang diletakkan di dalam sebuah lagi kontena tidak dilarikan," katanya ketika ditemui di Balai Polis Bandar Baru, Air Itam di sini hari ini.

Menurut beliau, meskipun dua pengawal keselamatan syarikat tersebut memiliki senjata api, namun mereka tidak melepaskan sebarang tembakan.

Bagaimanapun, sepucuk pistol milik pengawal keselamatan telah dilarikan perompak tersebut.

"Suspek kemudian melarikan diri ke arah Relau dan hasil siasatan juga mendapati nombor pendaftaran kereta yang dinaiki suspek adalah nombor pendaftaran motosikal," katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga telah mengambil keterangan daripada ketiga-tiga pengawal keselamatan berkenaan untuk membantu siasatan kes tersebut yang dibuat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Jika disabit kesalahan, seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau sebatan.

Wan Abdullah turut meminta orang ramai yang melihat kejadian tersebut menghubungi Ibu Pejabat Polis Timur Laut (IPDTL) di talian 04-2181822 untuk membantu siasatan.

No comments:

Post a Comment