Monday, May 24, 2010

Geng samun kedai emas tumpas

Oleh Nasir Abd Wahab

2010/05/25
Tujuh termasuk dua bekas anggota polis serta seorang peniaga emas ditahan

MELAKA: Polis percaya dapat menumpaskan satu sindiket samun kedai emas dan ragut dengan penahanan tujuh suspek, termasuk dua bekas anggota polis serta seorang peniaga emas di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ketua Polis Melaka, Datuk Mohd Rodwan Mohd Yusuf berkata, semua suspek berkenaan berusia antara 22 tahun dan 46 tahun ditahan dalam beberapa serbuan berasingan di sekitar Kuala Lumpur antara 10 Mei hingga 18 Mei lalu. Katanya, seorang daripada suspek diberkas di Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada 10 Mei lalu dan penahanannya membawa kepada tangkapan seorang peniaga emas berusia 40-an yang dipercayai membeli hasil rompakan barang kemas daripada kumpulan itu. “Daripada maklumat yang diperoleh, polis berjaya memberkas baki kumpulan itu yang juga didapati aktif dalam 30 kes ragut sekitar Kuala Lumpur sejak 2008,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, Banda Hilir, di sini, semalam.

Beliau berkata, polis turut merampas wang tunai berjumlah RM339,000 serta barangan kemas dipercayai emas bernilai hampir RM100,000 daripada peniaga emas berkenaan selain merampas tiga buah kereta, masing-masing sebuah Mercedez Benz, Honda Civic dan Perodua Kancil, yang dipercayai digunakan ahli kumpulan berkenaan.

Katanya, siasatan awal mendapati peniaga emas berkenaan sudah meleburkan sebahagian barangan kemas yang dibeli daripada kumpulan suspek itu.

Kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan. Pada masa sama, polis sedang memburu seorang lagi suspek, dipercayai ketua kumpulan berkenaan.
Mohd Rodwan berkata, kumpulan itu dijejaki susulan satu kejadian samun ke atas sebuah kedai emas di Ayer Molek, dekat sini, kira-kira jam 12.30 tengah hari pada 24 Februari lalu.

Dalam kejadian itu, empat lelaki bersenjata parang dan tukul besi dengan menaiki dua motosikal merompak kedai emas di Ayer Molek ketika pemiliknya keluar membeli makanan.

No comments:

Post a Comment