Thursday, May 6, 2010

Johor: Kereta curi RM1j

Oleh Azidan Nahar
azidan@bharian.com.my
2010/05/07
Bengkel jadi pusat operasi, tubuh pasukan khas siasat kes

JOHOR BAHRU: Bengkel kereta yang menjadi pusat operasi kegiatan sindiket curi kereta mewah dikesan berikutan penahanan enam lelaki, dipercayai anggota sindiket berkenaan selepas polis menemui lapan kereta curi bernilai lebih RM1 juta di Bt 13, Jalan Sungai Tiram, baru-baru ini. Kumpulan terbabit diketuai pemilik pusat servis, kimpalan dan mengecat kereta berusia 38 tahun dan tiga warga asing yang dipercayai menjadikan bengkel berkenaan untuk menyimpan kereta curi, selain menjual bahagian kereta yang diceraikan kepada bengkel kereta di daerah ini. Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff, berkata pihaknya menahan pemilik bengkel itu dan empat pekerjanya berusia antara 30 hingga 50 tahun pada kira-kira 11 pagi selepas mendapat maklumat berkaitan kes berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya kemudian memeriksa 36 kenderaan di bengkel terbabit dan mendapati lapan daripadanya adalah kereta curi yang disimpan di dalam sebuah stor di belakang bengkel.

“Kita percaya kumpulan ini memiliki rangkaian jenayah lebih besar dan kita yakin lebih ramai akan ditahan selepas ini apabila kegiatan mereka dibongkar. Kita juga sudah menubuhkan satu pasukan khas untuk menyiasat kes ini.

“Siasatan awal mendapati kumpulan ini sudah beroperasi lebih tiga tahun dan mungkin terbabit dalam 30 kes samun dan curi kenderaan mewah.

“Mereka menyasarkan kereta mewah yang boleh dijual dengan mudah di pasaran gelap serta kereta mudah dicuri sebelum bahagian kereta itu dipisahkan dan dijual kepada bengkel kereta,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri di sini, semalam.

Mokhtar berkata, polis turut menemui beberapa komponen kereta jenis Gen-2 yang dilaporkan hilang di Taman Johor Jaya di dalam stor milik lelaki terbabit.

Hasil siasatan, Mokhtar menjelaskan pihaknya menahan seorang lelaki pada kira-kira jam 6 petang kelmarin kerana dipercayai terbabit dengan sindiket berkenaan.

Beliau berkata, kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman tidak lebih tujuh tahun, denda dan sebatan.

Selain itu, enam lelaki terbabit juga akan dituduh mengikut Seksyen 29(1) Undang-Undang Kesalahan Kecil yang boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 jika sabit kesalahan.

Sehubungan itu, Mokhtar memberi amaran kepada bengkel kecil yang terbabit membeli komponen curi ini supaya segera menghentikan kegiatan itu kerana pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan keras.

“Pemilik kenderaan ini juga tolong jaga kenderaan mereka, jangan kedekut untuk membeli peralatan keselamatan bagi mengelakkan kecurian kerana penjenayah sentiasa mengambil kesempatan jika ada peluang,” katanya

No comments:

Post a Comment