2010/05/22
BATU PAHAT: Sebanyak 532 pasport milik pekerja asing yang bekerja di enam kilang sekitar daerah ini lesap, apabila kilang tempat mereka bekerja dipecah masuk penyamun dalam beberapa kejadian berasingan sejak Januari hingga kini, dikhuatiri didalangi sindiket pemalsuan pasport antarabangsa.
Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Adnan Azizon, berkata polis mengambil berat kehilangan pasport pekerja asing dalam jumlah besar itu dalam beberapa siri kejadian samun kebelakangan ini kerana ia mampu menjadi ancaman keselamatan kepada negara. Katanya, penjenayah terbabit menggunakan modus operandi dengan melakukan aktiviti samun pada waktu tengah malam dan memilih kilang yang mempunyai kawalan keselamatan lemah yang hanya dikawal seorang pengawal keselamatan warga tua yang keletihan dan tertidur sebelum memecah masuk menerusi bahagian belakang premis berkenaan. Adnan berkata, enam kilang masing-masing dua di Batu Pahat dan Ayer Hitam serta satu di Yong Peng dan Tongkang Pechah menghadapi masalah berikutan pasport milik pekerja asing mereka yang disimpan di peti besi pejabat di kilang, hilang apabila dipecah masuk penyamun.
“Kejadian ini serius dan kita khuatir pasport yang dicuri akan dijual semula oleh sindiket pemalsuan pasport antarabangsa ini kepada pelancong yang memasuki negara ini menggunakan pas lawatan sosial.
“Selepas siasatan dilakukan dengan melihat kembali rakaman kamera litar tertutup (CCTV) beberapa kilang terbabit, kita mendapati wujud dua kumpulan penjenayah berbeza dengan kumpulan pertama dianggotai tiga suspek dipercayai lelaki warga Vietnam berusia antara 20 hingga 35 tahun manakala satu lagi kumpulan dianggotai dua lelaki Vietnam dan seorang lelaki tempatan berusia antara 20 hingga 44 tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di sini, semalam. Hadir sama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Pahat, Deputi Superintendan, Che Mahazan Che Aik.
Adnan berkata, motif kumpulan terbabit menyasarkan untuk menyamun pasport milik pekerja asing berkenaan masih disiasat dan pihaknya sedang meneliti kembali rakaman CCTV kejadian.
Friday, May 21, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment