Tuesday, May 11, 2010

Kumpulan pecah, curi kedai emas tumpas

IPOH 11 Mei 2010 - Polis berjaya menumpaskan sebuah kumpulan yang aktif mencuri barang kemas di lapan buah negeri, sejak dua tahun lalu, membabitkan kerugian kira-kira RM10 juta.

Kejayaan itu diperoleh dengan penahanan lima lelaki setelah mengepung mereka ketika cuba memecah masuk sebuah kedai emas di Taman Ipoh Jaya di sini, awal pagi Ahad lalu.

Turut ditemui 28 jenis peralatan pecah kedai termasuk dua tabung gas, mesin penebuk, mesin pemotong, tangga aluminium dan mesin hidraulik.

Polis turut merampas empat buah kereta yang digunakan oleh kumpulan yang dianggotai lelaki berusia 37 hingga 51 tahun itu.

Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah berkata, kejayaan tersebut adalah hasil kerjasama orang awam yang bertindak pantas melaporkan bunyi alat penggera sebuah kedai emas di kawasan itu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi tersebut, sepasukan polis Cawangan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak yang sedang membuat rondaan cegah jenayah terus bertindak mengepung kawasan rumah kedai tersebut.

Sementara itu di Alor Setar, cubaan sekumpulan lelaki untuk menyamun sebuah kedai pajak gadai Islam, Ar-Rahn di Jalan Kota di sini, gagal apabila sistem penggera keselamatan di premis itu berbunyi.

Dalam kejadian antara pukul 12.30 tengah malam dan 4.41 pagi, penjenayah itu turut memecahkan sebuah butik pakaian dan pejabat peguam yang terletak bersebelahan premis pajak gadai berkenaan.

Bagaimanapun, kumpulan penyamun itu terkejut apabila sistem penggera di premis pajak gadai tersebut berbunyi menyebabkan mereka melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Abdul Ghafar Rajab berkata, suspek hanya sempat melarikan sebuah komputer riba dari pejabat peguam dan wang tunai RM140 dari butik berkenaan.

Katanya, siasatan mendapati lebih lima orang lelaki disyaki terlibat dalam cubaan untuk merompak kedai pajak gadai Islam tersebut.

No comments:

Post a Comment