Wednesday, May 5, 2010

Dua ditahan selepas 15 minit merompak

SUNGAI SIPUT 4 Mei 2010 - Tindakan pantas seorang lelaki memaklumkan kejadian samun melibatkan diri dan keluarganya, membolehkan polis berjaya memberkas dua daripada tiga penjenayah, kira-kira 15 minit selepas menyamun mereka.

Kejadian berlaku pada pukul 4.35 pagi ini, apabila rumah mangsa di Taman Aman di sini, dipecah masuk oleh tiga lelaki.

Mangsa, isteri dan anaknya diikat sebelum penjenayah-penjenayah itu melarikan kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Wish miliknya.

Namun, sebaik sahaja berjaya melepaskan diri, mangsa yang berusia 26 tahun telah melaporkan kejadian itu di Balai Polis Sungai Siput.

Ketua Polis Negeri, Datuk Zulkifli Abdullah berkata, bertindak atas maklumat, tiga buah kereta peronda telah bergegas ke Sungai Siput dan berjaya mengesan kenderaan itu.

Katanya, bagaimanapun ketika cuba menahannya, suspek memecut menghala ke Ipoh sebelum terlanggar tembok di Jalan Khantan lalu terbabas.

"Pemandu kereta itu dapat melarikan diri manakala dua lagi rakannya berusia 33 dan 39 tahun berjaya ditahan.

"Kedua-dua penjenayah itu termasuk seorang daripadanya pernah ditahan kerana merusuh, positif dadah jenis syabu," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya, hasil pemeriksaan polis menemui sebatang pemutar skru, dua buah komputer riba, sebuah beg duit syiling, wang tunai RM200 dan enam telefon bimbit.

Katanya lagi, selain itu, tiga dompet, tiga kad mesin juruwang automatik (ATM) dan empat kunci kereta yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM30,000.

"Operasi memburu suspek yang berjaya melepaskan diri sedang dijalankan," ujar beliau.

Katanya, kedua-dua suspek terbabit akan direman selama enam hari sehingga 10 Mei ini dan disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, Zulkifli memuji tindakan mangsa yang tidak panik dan segera melaporkan kepada polis.

"Tindakan seperti itulah yang kita mahu kerana ia membantu polis menyelesaikan kes jenayah," katanya.

No comments:

Post a Comment