Sunday, May 16, 2010

Wanita lakukan 4 jenayah sehari

Oleh RIZANIZAM ABDUL HAMID
utusanmelaka@utusan.com.my

MELAKA 16 Mei 2010 - Seorang wanita berusia 20-an dari Kampung Gadek, Alor Gajah di sini, mungkin layak digelar 'hati kering' apabila melakukan empat jenayah sekali gus dalam tempoh kurang 24 jam lalu.

Ini berikutan. dia bukan sahaja tidak menginsafi kesalahan pertama apabila ditangkap berkhalwat bersama teman lelakinya, malah melakukan tiga lagi jenayah lain.

Jenayah itu adalah melarikan diri dari pusat tahanan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), mencuri kenderaan pegawai JAIM selain positif dadah jenis syabu.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Mohd. Adnan Abdullah (gambar) berkata, pada mulanya suspek ditahan JAIM di sebuah rumah, Khamis lalu.

Difahamkan, suspek ditahan bersama teman lelakinya di Taman Wan Siow, Bukit Cina, kira-kira pukul 11 malam, Khamis lalu.

"Suspek kemudian dibawa ke pusat tahanan JAIM. Bagaimanapun suspek berjaya memboloskan diri dari tahanan JAIM pada pukul 5.30 pagi, keesokannya.

"Polis menerima maklumat mengenai kejadian itu pada pukul 7.45 pagi," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurutnya, siasatan mendapati suspek memboloskan diri selepas memecahkan siling di pusat tahanan itu.

Katanya, suspek kemudian melarikan pula kereta milik pegawai JAIM iaitu Toyota Avanza dengan menggunakan kunci yang ditinggalkan.

"Ketika itu, pegawai berkenaan sedang keluar minum di kawasan berhampiran," ujar beliau.

Adnan menambah, susulan itu, polis telah menyerbu rumah ibu bapa suspek di Kampung Gadek, Alor Gajah dan menemui semula kereta curi tersebut, kira-kira pukul 9 pagi semalam.

"Semasa ditahan, suspek sedang mencuci kereta pegawai itu. Ujian air kencing yang dijalankan juga mendapati suspek positif dadah jenis syabu," katanya.

Tambahnya, suspek yang direman akan disiasat di bawah Seksyen 224 Kanun Keseksaan kerana lari daripada kawalan, Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana curi kenderaan bermotor dan Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Selain itu, katanya, pegawai penguat kuasa berkenaan turut disiasat di bawah Seksyen 223 Kanun Keseksaan kerana kecuaian dalam melakukan tugasan.

No comments:

Post a Comment