Thursday, May 27, 2010

5 pemandu lori curi beras dicekup

JOHOR BAHRU 27 Mei 2010 - Lima pemandu lori sebuah kilang beras di Masai yang mencuri 708 guni beras bernilai RM9,138 untuk dijual di pasaran gelap ditahan oleh polis pada Isnin lalu.

Kesemua mereka yang berusia antara 20 hingga 40 tahun itu ditangkap selepas polis mendapat maklumat daripada pemilik kilang beras berkenaan.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, sebaik sahaja menerima maklumat, sepasukan anggota dari Balai Polis Permas Jaya menahan kelima-lima pemandu lori itu di sekitar Masai.

Beliau berkata, pihaknya kemudian merampas dua buah lori yang digunakan untuk mengangkut beras yang dicuri itu untuk dijual di pasaran gelap.

"Hasil serbuan itu, kita berjaya merampas semula 708 guni beras termasuk 85 guni yang telah dimasukkan ke sebuah lori berasingan untuk dijual.

"Polis tidak menolak kemungkinan kesemua bekalan makanan itu dijual pada harga yang lebih murah kepada pihak ketiga," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Mohd. Mokhtar berkata, kelima-lima suspek kini ditahan reman sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 407 Kanun Keseksaan bagi kesalahan pecah amanah.

Dalam kes berasingan, beliau berkata, dua lelaki termasuk seorang daripadanya pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) ditahan secara berasingan di sini atas kesalahan mengedar dadah.

Dalam kejadian pertama pukul 2.30 petang Isnin lalu, katanya, polis menyerbu sebuah rumah di Taman Johor Jaya dan menahan seorang lelaki berusia 31 tahun dan merampas dadah bernilai RM26,452.

Turut dirampas, satu peket plastik lutsinar mengandungi heroin seberat 6.3 gram, satu tiub straw mengandungi heroin seberat satu gram dan dua kotak berisi dua peket plastik lutsinar mengandungi ketulan heroin seberat 336 gram.

"Lelaki tersebut didapati positif dadah jenis candu dan memiliki satu rekod jenayah samun kini ditahan sehingga 31 Mei depan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," ujarnya.

Sementara itu, bagi kes kedua pukul 12.40 malam semalam, seorang lelaki pemegang kad UNHCR warga Myanmar ditahan di sebuah rumah di Taman Desa Jaya di sini setelah memiliki pelbagai jenis dadah jenis heroin.

Polis turut merampas 11 peket plastik lutsinar, dua tiub straw panjang dan tiga tiub straw tiub pendek, kesemuanya dadah jenis heroin.

Katanya, suspek yang didapati positif mengambil dadah jenis candu kini ditahan sehingga Selasa ini mengikut akta yang sama.

No comments:

Post a Comment