Wednesday, May 5, 2010

Utara: Kena kebas

Oleh Zulfa Mohamad
bhnews@bharian.com.my
2010/05/06

Muniandy (kiri) menunjukkan penutup peti surat kayu yang dibuat sendiri berikutan penutup aluminium dicuri di rumah pangsa Teluk Indah, Prai.Penutup peti surat rumah pangsa Teluk Indah dicuri

BUTTERWORTH: Menyusahkan orang. Itulah perkataan yang sesuai diberikan kepada pencuri barangan logam yang tidak henti-henti melakukan perbuatan keji itu. Demi mendapatkan wang, mereka berterusan melakukan kerja berkenaan yang menyebabkan mangsa mengalami kesusahan. Inilah yang dirasai penduduk rumah pangsa Teluk Indah, Prai, di sini apabila berpuluh-puluh penutup peti surat di kawasan perumahan itu dikebas pencuri dipercayai bagi mendapatkan wang dengan menjualnya kepada pembeli barangan lusuh. Tindakan tidak bertanggungjawab itu menyebabkan banyak surat penting penduduk sering hilang atau jatuh apabila ditiup angin.

Tinjauan Berita Harian mendapati, beberapa surat, risalah, iklan serta bil elektrik berselerak atas lantai.

Penduduk mendakwa kebanyakan penutup peti surat di Blok D1, D2, E1 dan E2 hilang sejak rumah pangsa itu dihuni 12 tahun lalu.

Berikutan masalah itu, ada penduduk terpaksa memasang semula penutup surat dengan kayu selain dipasang mangga bagi mengelakkan surat atau dokumen penting hilang.
Seorang penduduk, N Subbaiyah, 66, berkata selain peti surat, kabel telefon turut menjadi sasaran pencuri yang mahu mendapatkan tembaga di dalamnya.

“Kami tidak pasti sama ada penghuni sendiri yang mencuri atau orang luar kerana kegiatan dilakukan waktu malam. Polis perlu meningkatkan rondaan pada waktu malam," katanya.

K Muniandy, 64, pula berkata, pencuri menjalankan kegiatan mereka pada waktu malam dipercayai bagi mendapatkan wang dengan menjualnya kepada pengumpul barang lusuh.

"Disebabkan tidak ada penutup, banyak surat, bil air dan elektrik penduduk hilang. Mereka yang melakukannya hanya pentingkan wang tanpa memikirkan perbuatan itu menyusahkan penduduk," katanya

No comments:

Post a Comment