Thursday, May 6, 2010

6 remaja samseng peras ugut pelajar

2010/05/07
KOTA KINABALU: Sekumpulan enam remaja samseng yang dikatakan baru berhenti sekolah menjadikan pelajar di sekitar bandar raya ini sasaran peras ugut.

Remaja yang menaiki dua kenderaan itu bergerak di bandar raya dengan menyasarkan pelajar yang menunggu bas atau dalam perjalanan ke sekolah. Difahamkan, seorang daripada remaja terbabit turut memperkenalkan diri sebagai anggota Cawangan Khas polis atau guru yang baru berpindah ke bandar raya ini bagi meyakinkan mangsa. Mereka membawa pelajar menaiki kenderaan konon untuk mencari sekolah yang ada kes samseng, tetapi mangsa dibawa ke tempat sunyi sebelum diugut supaya menyerahkan duit dan ditinggalkan di situ.

Seorang pelajar Tingkatan Dua sebuah sekolah di Likas yang hanya mahu dikenali sebagai Muhammad, 14, mendakwa menjadi mangsa kumpulan terbabit.

Katanya, kejadian berlaku ketika beliau bersama tiga rakan dalam perjalanan ke sekolah awal minggu ini.

“Seorang daripada tiga lelaki yang menghampiri kami memperkenalkan diri sebagai anggota Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu dan mencari sebuah sekolah di Likas, kononnya untuk mengesan pelajar terbabit kes jenayah.

“Dia mengajak kami menaiki Perodua Kembara dan beberapa minit kemudian, saya perasan kereta itu memecut ke arah lain.

“Mujur berhampiran Masjid Bandaraya, berlaku kesesakan teruk dan saya bersama rakan terus membuka pintu menyelamatkan diri,” katanya di sini, semalam.
Muhammad berkata, beliau dan rakannya melaporkan kejadian itu kepada sekolah dan polis.

Pemangku Ketua Polis Kota Bandaraya, Superintendan Rowell Marong, berkata tiga daripada suspek yang menggunakan kenderaan Perodua Viva ditahan kelmarin.

“Berdasarkan siasatan awal polis, seorang remaja yang ditahan itu ialah pelajar Tingkatan Lima di Papar yang lari dari rumah dan mencuri kenderaan bapanya,” katanya.

No comments:

Post a Comment