Tuesday, May 25, 2010

Lagi kapal pindah minyak ditahan

JOHOR BAHRU 25 Mei 2010 - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Maritim Selatan sekali lagi berjaya menumpaskan kegiatan pemindahan minyak secara haram apabila menahan dua buah kapal di perairan Pengerang di Kota Tinggi semalam.

Ketua Penguat Kuasa Daerah Maritim Tanjung Sedili, Komander Maritim Abdul Hadib Abdul Wahab berkata, kapal MT Shengtek dan MT South Ocean No. 2 itu ditahan pada kedudukan 2.6 batu nautika dari selatan Tanjung Kapal pukul 10.20 pagi.

Beliau berkata, kegiatan mereka berjaya dihidu oleh KM Manjung yang melakukan rondaan di perairan tersebut.

"Sewaktu menghampiri kedua-dua kapal itu, kami dapati ia sedang melakukan pemindahan minyak tanpa kebenaran yang sah.

"Setelah diperiksa, kami mendapati kapal MT Shengtek telah memindahkan sebanyak 565,000 liter minyak ke kapal MT South Ocean No. 2," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kejayaan itu adalah yang kedua bagi APMM menahan kapal yang menjalankan kegiatan memindahkan minyak secara haram dalam tempoh 48 jam.

Kelmarin, APMM menahan dua buah kapal asing iaitu MT Atami Maru dan MT Petrolimex 09 yang sedang menjalankan kegiatan sama di perairan berkenaan.

Abdul Hadib berkata, pemeriksaan lanjut ke atas kedua-dua kapal mendapati dua hos telah digunakan secara serentak bertujuan mempercepatkan lagi aktiviti itu bagi mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.

Ketika siasatan, katanya, kedua-dua kapal berkenaan gagal mempamerkan sebarang dokumen atau permit daripada Ketua Pengarah Jabatan Laut untuk melaksanakan aktiviti pemindahan minyak.

Menurutnya, dokumen kedua-dua kapal dan pengenalan diri 19 anak kapal warga Indonesia, China, Taiwan, Singapura dan Filipina berusia antara 22 hingga 57 tahun itu telah diambil untuk siasatan, manakala kapten kapal ditahan untuk tindakan lanjut.

Kedua-dua pemilik kapal berkenaan boleh didakwa mengikut Seksyen 491B(1)(k) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu gagal memaklumkan kepada Ketua Pengarah Jabatan Laut untuk melakukan aktiviti kapal ke kapal serta gagal memaklumkan ketibaan kapal apabila berada di mana-mana perairan Malaysia.

Jika sabit kesalahan, pemilik kapal boleh didenda maksimum RM100,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

No comments:

Post a Comment