Monday, May 17, 2010

Keluarga diikat sebelum dirompak

SEREMBAN 17 Mei 2010 – Sebuah keluarga kerugian hampir RM45,000 apabila menjadi mangsa samun sekumpulan penjenayah yang memecah masuk kediaman mereka di Kampung Tarun, Broga dekat sini awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.40 pagi, kesemua mangsa dikatakan sedang nyenyak tidur sebelum dikejutkan enam lelaki bertopeng bersenjatakan parang yang masuk melalui pintu belakang rumah banglo itu.

Kejadian tersebut disedari oleh salah seorang daripada 10 ahli keluarga berkenaan yang terjaga selepas terdengar bunyi bising di bahagian ruang tamu.

Difahamkan, sebaik sahaja memasuki sebuah bilik, salah seorang penjenayah bertindak mengacukan parang di leher mangsa sebelum mengarahkannya mengejutkan semua ahli keluarga yang lain.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin berkata, enam penjenayah itu kemudian mengikat kesemua mangsa sebelum menggeledah rumah tersebut.

“Mangsa yang terdiri daripada lima dewasa dan lima kanak-kanak diikat menggunakan tali yang ditemui penjenayah dalam rumah tersebut.

“Suspek kemudian menggeledah rumah berkenaan sebelum melarikan diri bersama barang berharga milik mangsa yang dianggarkan bernilai hampir RM45,000,” katanya di sini hari ini.

No comments:

Post a Comment