Thursday, May 6, 2010

Empat penyamun larikan barang kemas RM500,000

2010/05/06
KUALA LUMPUR: Empat lelaki bersenjatakan sepucuk pistol melarikan lima dulang barang kemas yang dianggar bernilai RM500,000 dalam satu kejadian samun di sebuah kedai emas di tingkat satu sebuah pusat membeli belah di Jinjang di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Zakaria Pagan, berkata dalam kejadian 12.15 tengah hari itu, empat lelaki terbabit memasuki kedai berkenaan dan berlagak seperti pelanggan sambil bertanyakan mengenai barang kemas yang dipamerkan. Beliau berkata, seorang daripada suspek kemudian bertindak mengacukan pistol ke arah seorang daripada empat pekerja kedai emas itu dan mengarahkan mereka itu memasukkan barang kemas ke dalam beg plastik yang dibawa sebelum melarikan diri. "Semua suspek yang berusia lewat 30-an itu mengambil masa lima minit untuk melarikan barang kemas berkenaan tanpa menimbulkan syak wasangka pengunjung di pusat membeli-belah itu," katanya ketika ditemui di sini.

Zakaria berkata, polis sedang meneliti rakaman kamera televisyen litar tertutup (CCTV) yang dipasang di premis serta pusat beli-belah itu.

Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian iitu diminta menghubungi polis bagi membantu siasatan.

"Premis berkenaan mungkin menjadi sasaran kerana ia tidak mempunyai pengawal keselamatan," katanya sambil menambah kes itu disiasat mengikut Seksyen 397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun bersenjata. - Bernama

No comments:

Post a Comment