Sunday, May 23, 2010

Maut ditikam rakan serumah hanya kerana syak curi telefon bimbit

KUCHING 23 Mei 2010 - Hanya kerana kehilangan telefon bimbit, seorang lelaki hilang kewarasan sehingga sanggup menikam teman serumahnya dengan senjata tajam di leher sehingga mati di rumah sewa mereka di Kampung Stampin, BDC di sini tengah malam tadi.

Dalam kejadian pukul 12.30 tengah malam itu, mangsa, Jackson Jugah, 23, pekerja binaan dari Betong meninggal dunia di tempat kejadian akibat kehilangan banyak darah.

Suspek berusia 23 tahun menyedari kehilangan telefon bimbit miliknya itu sejurus pulang ke rumah selepas keluar minum bersama Jugah di sebuah restoran berhampiran.

Berikutan itu, suspek yang mengesyaki ia dilakukan oleh Jugah telah menunggu mangsa pulang sebelum kedua-duanya bertengkar di hadapan rumah.

Suspek kemudian bertindak mengambil sebatang besi tajam pada bahagian rim basikal lalu menikam leher Jugah menyebabkan mangsa terus rebah.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mun Kock Keong ketika dihubungi hari ini berkata, polis menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 1 pagi.

Menurutnya, sebaik sahaja tiba di tempat kejadian, suspek menyerah diri kepada polis bersama-sama besi yang digunakan untuk menikam mangsa.

"Suspek ditahan reman dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Motif kejadian adalah disebabkan perselisihan faham antara suspek dan mangsa," katanya.

Beliau menambah, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk bedah siasat.

No comments:

Post a Comment