Irfan Putih dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan 10 kali sebatan selepas mengaku bersalah memiliki dadah jenis ganja seberat 889 gram oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam, semalam.
--------------------------------------------------------------------------------
SHAH ALAM 11 Mei 2010 - Seorang lelaki dari Aceh, Indonesia bukan sahaja menyeludup masuk ke Malaysia secara haram, malah menggunakan kad pengenalan dan lesen memandu palsu untuk berkerja sebagai pemandu teksi.
Lebih teruk lagi, Irfan Putih, 35, ditahan dan didakwa atas tuduhan mengedar 889 gram kanabis selepas pihak polis menjumpai ganja itu di dalam teksi yang dipandunya.
Namun, selepas lima tahun meringkuk dalam tahanan di Penjara Sungai Buloh, bapa kepada dua anak itu beroleh peluang kedua apabila pihak pendakwaan menawarkan pertuduhan pilihan, memiliki ganja tersebut.
Terlepas daripada maut di tali gantung, Irfan hari ini dihukum penjara lapan tahun dan sebatan 10 kali oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas mengaku bersalah.
Hakim Dr. Badariah Sahamid memerintahkan hukuman penjara berkuat kuasa dari tarikh tangkap iaitu pada hari kejadian.
Dalam penghakiman ringkas Hakim Badariah berkata, hukuman itu diputuskan selepas mengambil kira pengakuan tertuduh yang tidak mempunyai rekod jenayah, berat ganja selain ia sebagai pengajaran kepada semua.
Sebaik prosiding selesai, Irfan yang berbaju T kuning dilihat berkali-kali mengucapkan terima kasih kepada Timbalan Pendakwa Raya, Zainal Azwar Kamaruddin dan peguamnya, Gurubachan Singh Johal.
Dia dilihat turut mendengar nasihat kedua-duanya dan berjanji untuk pulang ke kampung halaman bagi memulakan hidup baru serta berazam tidak mengulangi kesilapan lampau.
Irfan mengaku memiliki ganja itu pada pukul 6.30 petang, 25 Februari 2005, di jalan besar Taman Kota Cheras, Batu 9, Kajang dekat sini.
Dia didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39A(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan tidak kurang 10 kali jika disabitkan kesalahan.
Fakta kes menyebut, sepasukan polis sedang membuat pemerhatian di tempat kejadian sebaik sahaja tertuduh tiba dan memberhentikan teksi yang dipandunya di bahu jalan.
Setelah diperiksa, polis menemui satu bungkusan plastik lutsinar bertulis 'Bintang' di dalamnya terdapat satu bungkusan akhbar Kosmo! yang berisi ketulan mampat ganja di bahagian tempat letak kaki pemandu.
Hasil pemeriksaan, polis turut menjumpai kad pengenalan, lesen memandu, permit serta pengenalan pemandu teksi yang menggunakan nama Ismail Dollah @ Abdullah.
Terdahulunya, Gurubachan memohon hukuman ringan kerana Irfan benar-benar menyesal dan telah mendapat balasan setelah ditinggalkan oleh isterinya semasa berada dalam tahanan.
Katanya, tertuduh turut memohon agar diberi peluang untuk segera pulang dan menjaga ibu serta dua anaknya yang masih kecil.
Menurut Gurubachan, tertuduh yang kehilangan punca pendapatan telah datang ke Malaysia untuk mencari rezeki selepas ayahnya dibunuh dalam satu kejadian membabitkan krisis di Aceh.
Zainal Azwar bagaimanapun memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran agar tidak mengulangi kesilapan tersebut.
Katanya, tertuduh telah menyebabkan ramai remaja dan rakyat negara ini terjebak dalam penyalahgunaan dadah tidak harus dipandang ringan.
Tuesday, May 11, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment