KUALA LUMPUR 17 Mei 2010 - Jika restoran makanan segera menggunakan konsep 'pesan dan hantar' untuk memenuhi permintaan pelanggan, satu sindiket pelacuran membabitkan wanita warga asing dikesan menggunakan kaedah sama untuk menjalankan perniagaan haram mereka.
Sindiket yang membekalkan khidmat pelacur dari Indonesia, China, Thailand dan Filipina itu menerima tempahan melalui panggilan telefon dan menghantar terus gadis-gadis yang ditempah kepada pelanggan.
Namun, perniagaan haram itu berjaya dibongkar oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bukit Aman yang menjalankan intipan dan serbuan di sebuah kondominium mewah yang dijadikan sarang persembunyian pelacur terbabit di ibu negara baru-baru ini.
Sumber polis memberitahu, polis yang membuat intipan pada pukul 4 pagi di kondominium terbabit berjaya mengesan tiga buah kereta yang digunakan oleh sindiket itu untuk menghantar pelacur kepada pelanggan yang membuat tempahan di sekitar Lembah Klang.
"Tiga lelaki tempatan yang memandu kereta dan bertindak sebagai pengantara dalam urusan jual beli pelacur terbabit berjaya diberkas.
"Suspek berusia antara 32 hingga 55 tahun tidak sempat melarikan diri bersama sembilan pelacur yang dibawa mereka," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata, pelacur yang ditahan terdiri daripada empat warga China, tiga Indonesia dan masing-masing seorang wanita Thailand serta Filipina.
Katanya, siasatan mendapati pelacur yang berusia antara 19 hingga 32 tahun ini memasuki Malaysia menggunakan pas lawatan sosial, malah ada yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah.
Tambahnya, pemeriksaan dalam tiga kereta terbabit turut menemui pelbagai jenis kondom, krim pelincir dan alat perhubungan walkie talkie yang digunakan suspek untuk menjalankan kegiatan haram tersebut.
"Malah, seorang daripada pelacur China yang ditahan dikesan membawa empat bungkusan dadah dalam beg tangannya.
"Polis tidak menolak kemungkinan wanita terbabit mengambil dadah untuk mendapatkan keseronokan ketika melayan pelanggan," ujarnya.
Sumber berkata, siasatan mendapati, sindiket berkenaan mengenakan bayaran antara RM200 hingga RM300 bagi setiap sesi.
Katanya, selepas menerima pesanan, pelacur yang dipilih akan terus dihantar ke tempat yang diminta oleh pelanggan.
Monday, May 17, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment