Wednesday, May 19, 2010

Sepasang kekasih pengedar dadah ditahan

19/05/2010 2:20pm


KAJANG 19 Mei 2010 - Sepasang kekasih dipercayai pengedar dadah di sekitar Lembah Klang ditahan polis di sebuah rumah di Cheras dekat sini pagi tadi dan merampas dadah seberat satu kilogram.

Pasangan berusia 43 dan 35 tahun itu ditahan pada kira-kira pukul 5 pagi di sebuah rumah teres dua tingkat di Damai Perdana, Cheras, dipercayai dijadikan tempat membungkus dadah sebelum dipasarkan.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd. Shakaruddin Che Mood berkata, dalam serbuan itu polis turut merampas dadah jenis ecstacy seberat 676 gram, ketamin (344 gram) dan syabu (2.7 gram) yang dianggarkan bernilai RM18,000.

"Turut dirampas, wang tunai bernilai RM940 dan beberapa keping mata wang Yen, kad kredit, pasport dan tiga buku bank,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, turut dirampas, sebuah kereta jenis Proton Waja dipercayai milik salah seorang suspek.

Mohd. Shakaruddin berkata, kedua-dua suspek itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan disahkan positif dadah jenis syabu.

Beliau berkata, kedua-dua suspek yang bekerja sebagai tukang masak di sebuah restoran kini ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - Bernama

No comments:

Post a Comment